
Tiada siapa menyangka Dr Muhammad Said Ramadhan al-Bouti akan meninggal dunia dengan cara dibom tetapi penuh misteri. Pelbagai cerita, berita, pandangan diberi. Macam-macam pendapat tentang siapa yang mengebom atau membunuhnya dan mereka di dalam masjid Iman dengan pelbagai versi. Namun, hakikatnya taqdir Allah jua yang mengatasi. Barangkali ada hikmah tersembunyi. Boleh jadi juga niat Dr Bouti yang benar dengan Ilahi. Tiada siapa yang mengetahui. Namun, kebenaran tetap akan terbongkar nanti.
Saya tidak yakin pengeboman dibuat oleh anasir FSA atau aktivis revolusi. Kalau masih ada iman di dalam dada tidak tergamak membunuh diri dan membunuh ulama sedang mengajar dan muridnya yang mengaji. Tidak mustahil kalau diandaikan talibarut regim Basyar yang membuat operasi. Tidakkah Dr Bouti berada dalam kawalan ketat di Damsyik yang tidak mudah anasir FSA menyelinap masuk membawa bom pada diri? Apatah lagi apabila dikatakan Dr Bouti sudah mempunyai kecenderungan untuk tidak menyokong Bashar lagi.