Persoalan yang kerap berlegar di minda setiap graduan. Antara makan gaji vs kerja sendiri yang mana satu harus dipilih? Jawapannya amat bergantung pada apa wang diingini kerana setiap pilihan mempunyai pro dan kontra. Ya, ramai yang memilih kerja berdasarkan minat dan kelayakan mereka. Kita diberi pilihan dan setiap orang berhak untuk memilih sesuatu untuk kebaikan dirinya untuk jangka masa panjang.
Bermula dengan kerja makan gaji, maksudnya bekerja di bawah orang lain sama ada dalam sektor awam atau swasta. Sektor awam seperti jabatan-jabatan di bawah naungan kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri, sekolah rendah, sekolah kebangsaan, universiti dan sebagainya. Sektor swasta pula contohnya bekerja di syarikat-syarikat Berhad, Sendirian Berhad atau Enterprise. Makan gaji bererti bekerja untuk majikan di mana majikan akan memberikan upah yang tetap pada setiap hujung bulan. Si pekerja pula tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan dengan upah yang diberikan. Faktor kecemasan dan kemalangan mungkin tidak akan menggugat situasi si pekerja kerana ia dijamin oleh majikan tetapi bagi mereka yang bernama majikan, mereka perlu mencari jalan untuk membayar upah kepada pekerja mereka.