PERJANJIAN TPPA: PENGUKUHAN HAGEMONI AMERIKA DAN NILAI-NILAI BARAT
Bila sebut Amerika, sudah terbayang dalam kepala bahawa Amerika adalah peneraju negara Barat mempromosikan nilai-nilai Barat. Lebih-lebih lagi, Amerika merupakan peneraju blok Barat bagi berhadapan blok Timur dalam era perang dingin.
Dalam era perang dingin ini, beberapa agensi kerajaan Amerika seperti CIA dan NED menjalankan segala kegiatannya bagi mengukuhkan kedudukan Amerika di serata dunia khususnya melalui promosi nilai demokrasi, consumerisme, materialisme dan liberalisme.
Selepas era perang dingin dan lebih tepat selepas kejatuhan soviet, tiga idea telah dikemukakan bagi mengukuhkan hagemoni Amerika iaitu pertembungan ketamadunah Barat, order dunia dan globalisasi mula diperkenalkan. Tiga idea ini merupakan asas Amerika untuk mengekalkan cengkaman terhadap negara-negara dunia.
Beberapa instrumen Amerika dikenal pasti digunakan untuk mengekalkan cengkamannya di peringkat antarabangsa iaitu:
1. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan halangannya adalah negara Rusia dan China sebagai pemegang kuasa veto.
2. Institusi Kewangan Dunia (IMF) yang menawarkan hutang agar dapat mengikat negara-negara miskin dan membangun dengan tekanan kuasa negara maju.
3. US Dollar sebagai asas pertukaran wang asing yang menyebabkan seluruh dunia sangat bergantung dengan sistem kewangan Amerika.
4. Undang-undang antarabangsa digunakan untuk memperkukuhkan kedudukan negara kuasa Besar termasuk Amerika.
5. Dan terbaru, TPPA adalah instrumen baru bagi mengikat semua negara yang menandatanganinya.
Kelima-lima instrumen ini bagi mengukuhkan idea ketamadunan Barat, order dunia dan globalisasi. TPPA diletakkan dalam instrumen di atas adalah kerana ia merupakan salah satu strategi untuk mengukuhkan hagemoni, order dan globalisasi Amerika. Justeru, perjanjian TPPA adalah mengukuhkan kedudukan Amerika di rantau Asia Pasifik dan tentunya menguntungkan Amerika.
Beberapa keuntungan Amerika melalui TPPA telah dapat dikenal pasti iaitu:
1. Amerika dapat mempromosi nilai-nilai Barat seperti demokrasi, liberalisme, consumeralisme dan seumpamanya.
2. Mengukuhkan cengkaman dunia dan mengenepikan pengaruh Rusia dan China.
3. Mengukuhkan ekonomi kapitalisme di peringkat antarabangsa.
4. Memperkukuhkan dollar Amerika dan ekonomi Amerika kerana dapat menggalakkan perniagaan peringkat antarabangsa.
5. Mengukuhkan penguasaan undang-undang antarabangsa dengan mengenepikan undang-undang negara-negara Asia Pasifik.
6. Mengukuhkan sains dan teknologi Amerika dengan jaminan hak intelektual.
Namun, apakah yang Malaysia dapat dari perjanjian TPPA? Ya, Amerika tentu mendapat keuntungan. Persoalan lebih penting adalah apakah keuntungan Malaysia dalam perjanjian TPPA? Ramai sudah mengandaikan kesan positif dan negatif dari perjanjian ini. Tetapi, apa yang pasti adalah Malaysia akan tunduk kepada hagemoni Amerika dan Malaysia adalah rakan perniagaan bagi seluruh negara yang menandatangani perjanjian TPPA lebih-lebih lagi Amerika sebagai mahaguru nilai-nilai Barat.
Dr Muhammad Atiullah
Pengarah Akademi al-Ghazali
Pengarah Akademi al-Ghazali