Sesungguhnya mati jasad kerana roh, mati roh kerana tiada ilmu. Mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada istiqomah. Menuntut ilmu adalah taqwa... menyampaikan ilmu adalah ibadah... mengulang ilmu adalah zikir... mencari ilmu adalah jihad... ........ ~al-qhazali~

Monday, April 18, 2016

MUHASABAH PENDENGARAN, PENGLIHATAN DAN EMOSI SEBAGAI PEMBEZA DAKWAH ISLAM DAN DAKWAH POPULAR

MUHASABAH PENDENGARAN, PENGLIHATAN DAN EMOSI SEBAGAI PEMBEZA DAKWAH ISLAM DAN DAKWAH POPULAR
Muhasabah adalah ciri penting dalam dakwah Islam. Petunjuk yang jelas dalam dakwah Islam adalah
telinga, mata dan hati yang menghasilkan emosi, pendengaran dan penglihatan. Beringatlah, hati dan emosi, pendengaran dan penglihatan ini semuanya adalah bakal dipersoalkan di akhirat nanti. Firman Allah s.w.t.:
(وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا)
(Surah al-Isra' 17: 36)
Maksudnya: Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Manusia sering bergantung pada pancaindera dengan menjadikan pendengaran dan penglihatan sebagai asas utama. Tetapi, manusia yang diciptakan dengan nafsu tidak menghalakan pandangan ke arah kebaikan dan kebenaran. Malah, pendengaran, penglihatan dan emosi hatipun menghala kepada nafsu dan fantasi.
Hakikat ini adalah jelas dalam program realiti. Sesuatu yang sedap telinga mendengar dan sedap mata memandang akan mendapat undi terbanyak dan memenangi anugerah. Manakala tahap pemikiran dan isi kandungan seseorang tidak diambil kira.
Mungkin program realiti Akademi Fantasia, Malaysia Idol, LawaKing dan Maharaja Lawak adalah sangat sesuai dengan halwa telinga dan pandangan mata. Tetapi, Pencetus Ummah dan Dakwah Milinia pun diheret sama menjustifikasi kemenangan berdasarkan mata dan telinga.
Bukan salah menjadikan mata dan telinga menjadi alat justifikasi kerana setiap pendengaran dan penglihatan banyak memberi kesan kepada hati. Dengan pendengaran telinga dan pandangan mata, hati manusia dapat dijinakkan melalui emosi.
Oleh demikian, semua program realiti memberi kesan terhadap emosi orang ramai. Rasa sedih, gembira, gemuruh, kesal dan sebagainya banyak juga ditimbulkan melalui program realiti.
Namun, berapa banyakkah dari segala macam pendengaran, penglihatan dan emosi ini terarah ke kebenaran dan ilmu yang disebut fu'ad iaitu hati terpandu dengan ilmu yang melengkapkan kemanusiaan dan membezakan dengan binatang.
Sebenarnya kegembiraan dan kesedihan dalam program realiti adalah mainan emosi yang dirangka penerbit. Tersingkir dan maju dalam program tersebut adalah adat permainan program realiti. Masyarakat awam diajak bersama dalam permainan ini dan melahirkan rasa sedih dan gembira pada sesuatu yang diada-adakan.
Sehingga perserta, juri, pengacara dan penonton yang semuanya beremosi pada sesuatu yang bukan realiti tetapi sememangnya fantasi. Genre yang diletakkan dalam program ini sebagai program realiti yang pada hakikatnya bukanlah realiti tetapi fantasi semata-mata.
Bandingkanlah kehadiran Dr Zakir Naik (DZN) di atas pentas terbuka. Beliau berdiri di hadapan ribuan masyarakat dan menghala perbicaraan secara dua hala. Program dialog antara agama DZN sepatutnya menjadi mercu tanda program realiti yang sebenar. Di sini, pendengaran dipasang mendengar rentetan hujah, penglihatan diarahkan kepada keterbukaan DZN, dan emosi hati diajak merasai kebenaran Islam dan keagungan Ilahi. Oleh demikian, tiga serangkai iaitu telinga, mata dan hati digarap ke arah ke kebenaran.
Namun, disebelah pihak yang membenci DZN pula mengajak mata masyarakat terutamanya Melaka dari melihat keterbukaan Islam, kata-kata dihamburkan ke telinga dengan penuh prasangka dan hati yang geram terhadap sikap Melayu Islam yang menerima DZN.
Padahal, program realiti dakwah di kaca telivisyen telah banyak ditayangkan secara langsung di kaca telivisyen. Tayangan realiti ini terlalu banyak menjengah dan menimbulkan perbincangan. Tetapi, tiada satupun setanding syarahan terbuka DZN.
Mungkin tidak adil bagi sesetengah orang jikalau dibuat perbandingan antara DZN dengan program realiti. Tetapi, sangatlah wajar jikalau dipersoalkan mutu kandungan program realiti terutama dakwah yang tidak memberi kesan mendalam kepada masyarakat. Tidaklah saya mengatakan program realiti adalah lakonan dan rekaan semata-mata tetapi emosi dan persembahan bagaikan telah dirancang.
Oleh demikian, program realiti di Malaysia khususnya hendaklah dikaji mengenai aspek pendengaran, penglihatan dan emosi agar benar-benar bertepatan dengan matlamat dan objektif dakwah Islam.
Itulah sepatutnya dilakukan dan dibangunkan dalam program realiti terutamanya dakwah. Ambillah pengajaran dari nabi Muhammad s.a.w. yang berdakwah dan menolak tawaran takhta, harta dan wanita.
Dakwah kepada Allah dan Islam adalah tanggungjawab semua yang bukan pentas untuk meraih populariti, kuasa dan kekayaan. Dakwah adalah tugas para rasul, para nabi, para ulama dan golongan soleh. Sangat perlu kita bermuhasabah pada pendengaran, penglihatan dan emosi sebagai teknik mencapai matlamat dakwah secara berkesan.
Dr Muhammad Atiullah
Pengarah Akademi al-Ghazali
Share:

Definition List

get this widget here

Unordered List

Sembang