LONDON 8 Julai - Kumpulan saintis Britain hari ini mendakwa mencipta sperma manusia menggunakan sel-sel stem embrionik, penemuan pertama dalam bidang perubatan.
Penyelidikan diketuai Profesor Karim Nayernia dari Universiti Newcastle dan Institut Sel Stem Timur Laut England (NESCI) yang membangunkan teknik baru bagi membolehkan penciptaan sperma manusia di makmal berkata, penemuan itu akan membolehkan pemahaman lebih baik berhubung kesuburan lelaki.
Sperma yang dibangunkan daripada sel stem dengan kromosom XY (lelaki), tidak akan digunakan untuk rawatan kesuburan, kerana melanggar undang-undang Britain.
"Pembangunan ini akan membolehkan penyelidik mengkaji secara terperinci bagaimana bentuk sperma dan lebih memahami berkenaan kesuburan lelaki.
"Pemahaman yang lebih baik terhadap sperma akan membantu kita membangunkan cara baru untuk membantu pasangan yang mengalami masalah kemandulan memperolehi anak sendiri," kata Nayernis.
Menurut beliau, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan sama ada sperma yang hasilkan secara in-vitro (IVD) ini boleh digunakan sebagai rawatan kesuburan, contohnya terhadap remaja yang menjadi tidak subur selepas menerima rawatan kemoterapi kanser.
Bagaimanapun, rawatan tersebut tidak akan boleh dibangunkan dalam tempoh satu dekad, kata Nayernia, undang-undang perlu diwujudkan bagi membolehkan teknik tersebut dilesenkan.
Penyelidikan yang diterbitkan di jurnal Stem Cells and Development itu turut boleh membantu manusia memahami lebih banyak bagaimana penyakit genetik di warisi. - AFP