Sesungguhnya mati jasad kerana roh, mati roh kerana tiada ilmu. Mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada istiqomah. Menuntut ilmu adalah taqwa... menyampaikan ilmu adalah ibadah... mengulang ilmu adalah zikir... mencari ilmu adalah jihad... ........ ~al-qhazali~

Friday, November 13, 2015

KISAH KEMURTADAN ZAMAN KHALIFAH ABU BAKAR

MENYELAMAT NEGARA ISLAM
 Perkembangan agama Islam dilihat tersebar luas bermula selepas perjanjian damai Hudaibiah pada tahun keenam Hijrah. Orang Arab dari segenap penjuru Semenanjung Tanah Arab pula datang mengadap Rasulullah S.A.W. dan menyatakan keislaman mereka sesudah kabilah Hawazin dan Saqif dapat dikalahkan pada tahun kesembilan Hijrah. Sebelum ini agama Islam hanya diterima oleh penduduk Madinah dan penduduk di kampung sekitarnya sahaja. Oleh yang demikian nilai keislaman mereka belumlah meresapi ke hati kecil mereka. Dengan itu tidak hairanlah mengapa sebaik-baik sahaja Rasulullah S.A.W. wafat pada 12 haribulan RabiulAwal tahun Hijrah yang kesebelas, masyarakat Islam menghadapi krisis yang hebat. Dari kalangan mereka lahir orang murtad yang menggunakan kesempatan wafatnya Rasulullah itu untuk menyatakan terus terang apa yang selama ini tersembunyi dalam hati mereka. Ketika itu telah mulai wujud golongan murtad terus keluar dari agama Islam, dan puak yang enggan membayar zakat ketika di zaman tersebut. Murtad terus keluar dari agama Islam Orang murtad yang terus keluar dari agama Islam pula ada yang menjadi pengikut-pengikut Musailamah Al-Kazzab, Tulaihah Al-Asadi dan Aswad yang masing-masing mendakwa diri mereka menjadi nabi, ada pula yang keluar menjadi pengikut orang Munafikin yang berpura-pura menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah S.A.W. , tetapi hati sebenarnya masih belum menerima lagi. Berlakunya begini ialah kerana mereka memeluk agama Islam secara berturut-turut sahaja, tidak benar-benar dengan kepercayaan dan iman, atau kerana tidak mahu melibatkan diri dalam peperangan melawan tentera Islam, atau kerana mahukan kemegahan dan tamak kepada harta rampasan, atau suatu kepentingan yang lain, sedangkan ajaran Islam atau pergaulan mereka dengan orang Islam belum lagi meninggalkan kesan dan perubahan kepada jiwa mereka. Mereka tidak mahu tunduk di bawah kekuasaan suku Quraisy yang kelihatan pada pandangan mata mereka cuba mempertahankan kuasanya selepas wafat Rasulullah S.A.W. Walaupun ramai di antara pengikut nabi palsu itu mengetahui kepalsuan dan kesesatan nabi-nabinya, tetapi mereka mendukung dan mengagungkan nabi-nabi tersebut hanyalah agar mereka menjadi kuat untuk menghadapi Quraisy yang dianggap hendak memonopoli kekuasaan tanah Arab, atau dengan maksud usaha mereka melawan Islam mendapat sokongan dan dukungan dari nabi-nabi palsu. Puak yang enggan membayar zakat Golongan ini pada zaman Rasulullah S.A.W. telah pun membayar zakat. Tetapi apabila ia tiba kepada zaman Khalifah Abu Bakar mereka enggan membayarnya kerana kedegilan mereka, atau kerana kesalahan mereka mentafsirkan atau memahami sebahagian ayat Al-Quran, atau kerana anggapan mereka bahawa zakat itu ialah cukai yang dipungut oleh Rasulullah S.A.W. untuk membersih dan menghapuskan kesalahan dan dosa pembayar zakat. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. tidak berkuasa untuk membersih dan menghapus dosa-dosa itu. Kebanyakan orang yang enggan membayar zakat ini adalah dari negeri Yaman, Yamamah dan Oman ketika itu. Membentuk pasukan tentera Gerakan orang murtad ini merupakan satu cabaran yang besar bagi Abu Bakar yang baru sahaja dilantik sebagai khalifah pada masa tersebut. Kalau terus dibiarkan nescaya masyarakat Islam akan menghadapi keruntuhan. Mereka telah muncul di merata-rata tempat. Di Taif kabilah Hawazin telah melakukan kacau-bilau. Pegawai-pegawai kerajaan telah dibunuh dan dihalau keluar. Mereka merancangkan hendak menawan kota Madinah. Dalam keadaan sulit yang memuncak ini Khalifah Abu Bakar dengan kebesaran jiwa dan ketabahan hatinya secara tegas mengambil keputusan memerangi semua golongan orang murtad yang dianggap telah menyeleweng dari kebenaran sehingga semuanya kembali kepada kebenaran, atau syahid dalam memperjuangkan kemuliaan agama Allah. Ketegasan ini telah disambut dan didokong pula oleh sebilangan besar orang Islam. Pada mulanya Sayyidina Umar tidak setuju dengan pendapat Khalifah Abu Bakar hendak memerangi puak yang enggan membayar zakat, berpandukan hadis Rasulullah sendiri yang menerangkan: “Aku diperintah supaya memerangi manusia hingga mereka mengaku bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, sesiapa yang mengaku demikian maka terpeliharalah dirinya dan hartanya daripada diperangi, dan kira bicaranya terserah kepada Allah”. Walau bagaimanapun Sayyidina Umar pada akhirnya bersetuju dengan pendapat Khalifah Abu Bakar yang menegaskan bahawa zakat itu bukanlah merupakan cukai di zaman Rasulullah S.A.W. , tetapi adalah satu kewajipan yang termasuk di dalam salah satu rukun Islam. Zakat juga merupakan salah satu daripada sumber kewangan Negara Islam yang tidak boleh diabaikan. Apalagi gerakan orang murtad itu mengancam kedudukan Negara dan agama Islam yang mesti ditentang. Nabi-nabi palsu pula membohongi orang ramai dan menaburkan diayah-diayah jahat. Oleh yang demikian Khalifah Abu Bakar pun menulis surat kepada ketua-ketua penderhaka dan menyeru mereka supaya kembali mematuhi pemerintahan Islam di Madinah. Seruan Abu Bakar itu diterima oleh setengah golongan dan diperkecilkan oleh sebilangan besar orang murtad. Akhirnya beliau pun membentuk sebelas pasukan tentera yang masing-masing dipimpin oleh pahlawan Islam yang handal-handal. Antara mereka ialah Khalid bin Al-Walid, Akrimah bin Hisyan, Syurahbil bin Hasanah, Amru Ibnul-As, Muhajir bin Umayyah, dan lain-lain lagi. Setelah berperang dengan hebatnya, akhirnya golongan murtad ini dapat dihancurkan, nabi-nabi palsu dapat dibunuh dan kebanyakan dari pengikutnya kembali semula kepada agama Islam. Tentera Islam pun kembali ke kota Madinah setelah ramai antara mereka gugur syahid. Dengan demikian bulatlah penyatuan Islam di tanah Arab, dan bertambah kuatlah pegangan mereka kepada agama Islam. Kejayaan ini menyebabkan ahli sejarah menyatakan bahawa Abu Bakar adalah penyelamat utama Negara Islam.
Share:

Saturday, November 7, 2015

TPPA. APA KATA AGUS YUSOF

SAYA menerima banyak permintaan dari sahabat supaya menulis tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement yang akan ditandatangani pada Oktober nanti. Pada mulanya saya tidak mahu menulis tentang isu ini kerana mahu serahkan kepada pakar ekonomi untuk menulis mengenainya. Tetapi apabila tidak ada ulasan yang saya harapkan, maka saya menulis juga untuk memberi pencerahan kepada kawan-kawan supaya kita semua tahu tentang inti Perjanjian ini dan kesannya kepada kita.
TPPA adalah perjanjian multilateral terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. TPPA ini alah tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep globalisasi.
Masalahnya dengan TPPA ini ialah semua perbincangannya dibuat secara rahsia dan semua teks perbincangan adalah rahsia sehinggalah selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini meletakkan rakyat dalam kegelapan, sesuatu yang cukup pelik dalam sebuah dunia terbuka tanpa sempadan.
Apabila ditanya mengapa dirahsiakan, jawapan kerajaan adalah standard: Perjanjian ini baik untuk negara kerana memudahkan barangan kita untuk memasuki pasaran luar. Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa teks perjanjian yang sedang dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan umum? Mengapa perlu berahsia?
Saya tanyakan hal di atas kerana terdapat beberapa klausa dalam TPPA ini yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyat dan negara dan cukup membimbangkan saya. Untuk maklumat ringkas, di bawah ini saya perturunkan beberapa kesan negatif yang perlu sangat kita ketahui:
i. Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan menyukarkan pesakit berpendapatan rendah dan sederhana kerana kos untuk mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi. Bayangkan jika seorang guru menghidap penyakit barah yang memerlukan ubat bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka untuk membayar kos perubatan semahal itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara kita nanti?
ii. Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara kita menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi dari luar negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing mengatasi kepentingan rakyat kita. Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara maju seperti AS, Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.
iii. Kerajaan boleh disaman oleh pelabur luar di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva jika terdapat dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak pelabur luar dan menghalang aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.
iv. Petani kita terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.
v. TPPA juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan persaingan pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?
vi. TPPA melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan rujukan dari 50 tahun selepas kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna segala bahan-bahan rujukan yang kini percuma dan telah didigitalkan akan menjadi terhad kepada pengguna. Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli atau wajib dibayar sewa, sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang kurang mampu.
Justeru implikasi TPPA ini besar kepada rakyat dan negara, maka saya merayu supaya kerajaan mengambil tindakan berikut terlebih dahulu sebelum memetarai perjanjian ini. Antaranya:
i. Menangguhkan perundingan TPPA sehingga segala teks mengenainya didedahkan kepada rakyat untuk mendapatkan maklumbalas. Rakyat berhak tahu dan diberi hak memberi pandangan kerana perjanjian ini melibatkan kualiti hidup mereka.
ii. Ahli parlimen perlu diberi pencerahan dan perlu membahaskan baik buruk Perjanjian ini. Semasa membahaskan hal ini, ahli parlimen perlulah melihat Perjanjian ini dari aspek kebaikannya untuk rakyat dan negara, bukannya berterusan terikat kepada kepentingan parti.
iii. Kerajaan mesti menolak status layanan tempatan yang perlu diberikan kepada syarikat gergasi luar.
Saya akui TPPA ini ada baiknya untuk negara kerana kita bergantung kepada kemasukan pelaburan luar untuk memacu ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kesan perjanjian ini, saya dapati perundingan TPPA ini perlu disemak semula dengan teliti oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Sekiranya kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari kebaikan, maka masih belum terlewat untuk kita menarik diri daripada Perjanjian ini.
Harapan saya cuma satu dari keputusan muktamad yang bakal diambil oleh kerajaan nanti: Jangan biarkan anak cucu kita tergadai melalui perjanjian yang bersifat globalisasi ini. Jangan biarkan menang sorak kampung tergadai.
Share:

Definition List

get this widget here

Unordered List

Sembang