MENYELAMAT NEGARA ISLAM
Perkembangan agama Islam dilihat tersebar luas bermula selepas perjanjian damai Hudaibiah pada tahun keenam Hijrah. Orang Arab dari segenap penjuru Semenanjung Tanah Arab pula datang mengadap Rasulullah S.A.W. dan menyatakan keislaman mereka sesudah kabilah Hawazin dan Saqif dapat dikalahkan pada tahun kesembilan Hijrah. Sebelum ini agama Islam hanya diterima oleh penduduk Madinah dan penduduk di kampung sekitarnya sahaja. Oleh yang demikian nilai keislaman mereka belumlah meresapi ke hati kecil mereka. Dengan itu tidak hairanlah mengapa sebaik-baik sahaja Rasulullah S.A.W. wafat pada 12 haribulan RabiulAwal tahun Hijrah yang kesebelas, masyarakat Islam menghadapi krisis yang hebat. Dari kalangan mereka lahir orang murtad yang menggunakan kesempatan wafatnya Rasulullah itu untuk menyatakan terus terang apa yang selama ini tersembunyi dalam hati mereka. Ketika itu telah mulai wujud golongan murtad terus keluar dari agama Islam, dan puak yang enggan membayar zakat ketika di zaman tersebut.
Murtad terus keluar dari agama Islam
Orang murtad yang terus keluar dari agama Islam pula ada yang menjadi pengikut-pengikut Musailamah Al-Kazzab, Tulaihah Al-Asadi dan Aswad yang masing-masing mendakwa diri mereka menjadi nabi, ada pula yang keluar menjadi pengikut orang Munafikin yang berpura-pura menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah S.A.W. , tetapi hati sebenarnya masih belum menerima lagi.
Berlakunya begini ialah kerana mereka memeluk agama Islam secara berturut-turut sahaja, tidak benar-benar dengan kepercayaan dan iman, atau kerana tidak mahu melibatkan diri dalam peperangan melawan tentera Islam, atau kerana mahukan kemegahan dan tamak kepada harta rampasan, atau suatu kepentingan yang lain, sedangkan ajaran Islam atau pergaulan mereka dengan orang Islam belum lagi meninggalkan kesan dan perubahan kepada jiwa mereka. Mereka tidak mahu tunduk di bawah kekuasaan suku Quraisy yang kelihatan pada pandangan mata mereka cuba mempertahankan kuasanya selepas wafat Rasulullah S.A.W. Walaupun ramai di antara pengikut nabi palsu itu mengetahui kepalsuan dan kesesatan nabi-nabinya, tetapi mereka mendukung dan mengagungkan nabi-nabi tersebut hanyalah agar mereka menjadi kuat untuk menghadapi Quraisy yang dianggap hendak memonopoli kekuasaan tanah Arab, atau dengan maksud usaha mereka melawan Islam mendapat sokongan dan dukungan dari nabi-nabi palsu.
Puak yang enggan membayar zakat
Golongan ini pada zaman Rasulullah S.A.W. telah pun membayar zakat. Tetapi apabila ia tiba kepada zaman Khalifah Abu Bakar mereka enggan membayarnya kerana kedegilan mereka, atau kerana kesalahan mereka mentafsirkan atau memahami sebahagian ayat Al-Quran, atau kerana anggapan mereka bahawa zakat itu ialah cukai yang dipungut oleh Rasulullah S.A.W. untuk membersih dan menghapuskan kesalahan dan dosa pembayar zakat. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. tidak berkuasa untuk membersih dan menghapus dosa-dosa itu. Kebanyakan orang yang enggan membayar zakat ini adalah dari negeri Yaman, Yamamah dan Oman ketika itu.
Membentuk pasukan tentera
Gerakan orang murtad ini merupakan satu cabaran yang besar bagi Abu Bakar yang baru sahaja dilantik sebagai khalifah pada masa tersebut. Kalau terus dibiarkan nescaya masyarakat Islam akan menghadapi keruntuhan. Mereka telah muncul di merata-rata tempat. Di Taif kabilah Hawazin telah melakukan kacau-bilau. Pegawai-pegawai kerajaan telah dibunuh dan dihalau keluar. Mereka merancangkan hendak menawan kota Madinah.
Dalam keadaan sulit yang memuncak ini Khalifah Abu Bakar dengan kebesaran jiwa dan ketabahan hatinya secara tegas mengambil keputusan memerangi semua golongan orang murtad yang dianggap telah menyeleweng dari kebenaran sehingga semuanya kembali kepada kebenaran, atau syahid dalam memperjuangkan kemuliaan agama Allah. Ketegasan ini telah disambut dan didokong pula oleh sebilangan besar orang Islam. Pada mulanya Sayyidina Umar tidak setuju dengan pendapat Khalifah Abu Bakar hendak memerangi puak yang enggan membayar zakat, berpandukan hadis Rasulullah sendiri yang menerangkan: “Aku diperintah supaya memerangi manusia hingga mereka mengaku bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, sesiapa yang mengaku demikian maka terpeliharalah dirinya dan hartanya daripada diperangi, dan kira bicaranya terserah kepada Allah”.
Walau bagaimanapun Sayyidina Umar pada akhirnya bersetuju dengan pendapat Khalifah Abu Bakar yang menegaskan bahawa zakat itu bukanlah merupakan cukai di zaman Rasulullah S.A.W. , tetapi adalah satu kewajipan yang termasuk di dalam salah satu rukun Islam. Zakat juga merupakan salah satu daripada sumber kewangan Negara Islam yang tidak boleh diabaikan. Apalagi gerakan orang murtad itu mengancam kedudukan Negara dan agama Islam yang mesti ditentang. Nabi-nabi palsu pula membohongi orang ramai dan menaburkan diayah-diayah jahat.
Oleh yang demikian Khalifah Abu Bakar pun menulis surat kepada ketua-ketua penderhaka dan menyeru mereka supaya kembali mematuhi pemerintahan Islam di Madinah. Seruan Abu Bakar itu diterima oleh setengah golongan dan diperkecilkan oleh sebilangan besar orang murtad. Akhirnya beliau pun membentuk sebelas pasukan tentera yang masing-masing dipimpin oleh pahlawan Islam yang handal-handal. Antara mereka ialah Khalid bin Al-Walid, Akrimah bin Hisyan, Syurahbil bin Hasanah, Amru Ibnul-As, Muhajir bin Umayyah, dan lain-lain lagi. Setelah berperang dengan hebatnya, akhirnya golongan murtad ini dapat dihancurkan, nabi-nabi palsu dapat dibunuh dan kebanyakan dari pengikutnya kembali semula kepada agama Islam. Tentera Islam pun kembali ke kota Madinah setelah ramai antara mereka gugur syahid. Dengan demikian bulatlah penyatuan Islam di tanah Arab, dan bertambah kuatlah pegangan mereka kepada agama Islam. Kejayaan ini menyebabkan ahli sejarah menyatakan bahawa Abu Bakar adalah penyelamat utama Negara Islam.