Sesungguhnya mati jasad kerana roh, mati roh kerana tiada ilmu. Mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada istiqomah. Menuntut ilmu adalah taqwa... menyampaikan ilmu adalah ibadah... mengulang ilmu adalah zikir... mencari ilmu adalah jihad... ........ ~al-qhazali~

Friday, November 13, 2015

KISAH KEMURTADAN ZAMAN KHALIFAH ABU BAKAR

MENYELAMAT NEGARA ISLAM
 Perkembangan agama Islam dilihat tersebar luas bermula selepas perjanjian damai Hudaibiah pada tahun keenam Hijrah. Orang Arab dari segenap penjuru Semenanjung Tanah Arab pula datang mengadap Rasulullah S.A.W. dan menyatakan keislaman mereka sesudah kabilah Hawazin dan Saqif dapat dikalahkan pada tahun kesembilan Hijrah. Sebelum ini agama Islam hanya diterima oleh penduduk Madinah dan penduduk di kampung sekitarnya sahaja. Oleh yang demikian nilai keislaman mereka belumlah meresapi ke hati kecil mereka. Dengan itu tidak hairanlah mengapa sebaik-baik sahaja Rasulullah S.A.W. wafat pada 12 haribulan RabiulAwal tahun Hijrah yang kesebelas, masyarakat Islam menghadapi krisis yang hebat. Dari kalangan mereka lahir orang murtad yang menggunakan kesempatan wafatnya Rasulullah itu untuk menyatakan terus terang apa yang selama ini tersembunyi dalam hati mereka. Ketika itu telah mulai wujud golongan murtad terus keluar dari agama Islam, dan puak yang enggan membayar zakat ketika di zaman tersebut. Murtad terus keluar dari agama Islam Orang murtad yang terus keluar dari agama Islam pula ada yang menjadi pengikut-pengikut Musailamah Al-Kazzab, Tulaihah Al-Asadi dan Aswad yang masing-masing mendakwa diri mereka menjadi nabi, ada pula yang keluar menjadi pengikut orang Munafikin yang berpura-pura menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah S.A.W. , tetapi hati sebenarnya masih belum menerima lagi. Berlakunya begini ialah kerana mereka memeluk agama Islam secara berturut-turut sahaja, tidak benar-benar dengan kepercayaan dan iman, atau kerana tidak mahu melibatkan diri dalam peperangan melawan tentera Islam, atau kerana mahukan kemegahan dan tamak kepada harta rampasan, atau suatu kepentingan yang lain, sedangkan ajaran Islam atau pergaulan mereka dengan orang Islam belum lagi meninggalkan kesan dan perubahan kepada jiwa mereka. Mereka tidak mahu tunduk di bawah kekuasaan suku Quraisy yang kelihatan pada pandangan mata mereka cuba mempertahankan kuasanya selepas wafat Rasulullah S.A.W. Walaupun ramai di antara pengikut nabi palsu itu mengetahui kepalsuan dan kesesatan nabi-nabinya, tetapi mereka mendukung dan mengagungkan nabi-nabi tersebut hanyalah agar mereka menjadi kuat untuk menghadapi Quraisy yang dianggap hendak memonopoli kekuasaan tanah Arab, atau dengan maksud usaha mereka melawan Islam mendapat sokongan dan dukungan dari nabi-nabi palsu. Puak yang enggan membayar zakat Golongan ini pada zaman Rasulullah S.A.W. telah pun membayar zakat. Tetapi apabila ia tiba kepada zaman Khalifah Abu Bakar mereka enggan membayarnya kerana kedegilan mereka, atau kerana kesalahan mereka mentafsirkan atau memahami sebahagian ayat Al-Quran, atau kerana anggapan mereka bahawa zakat itu ialah cukai yang dipungut oleh Rasulullah S.A.W. untuk membersih dan menghapuskan kesalahan dan dosa pembayar zakat. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. tidak berkuasa untuk membersih dan menghapus dosa-dosa itu. Kebanyakan orang yang enggan membayar zakat ini adalah dari negeri Yaman, Yamamah dan Oman ketika itu. Membentuk pasukan tentera Gerakan orang murtad ini merupakan satu cabaran yang besar bagi Abu Bakar yang baru sahaja dilantik sebagai khalifah pada masa tersebut. Kalau terus dibiarkan nescaya masyarakat Islam akan menghadapi keruntuhan. Mereka telah muncul di merata-rata tempat. Di Taif kabilah Hawazin telah melakukan kacau-bilau. Pegawai-pegawai kerajaan telah dibunuh dan dihalau keluar. Mereka merancangkan hendak menawan kota Madinah. Dalam keadaan sulit yang memuncak ini Khalifah Abu Bakar dengan kebesaran jiwa dan ketabahan hatinya secara tegas mengambil keputusan memerangi semua golongan orang murtad yang dianggap telah menyeleweng dari kebenaran sehingga semuanya kembali kepada kebenaran, atau syahid dalam memperjuangkan kemuliaan agama Allah. Ketegasan ini telah disambut dan didokong pula oleh sebilangan besar orang Islam. Pada mulanya Sayyidina Umar tidak setuju dengan pendapat Khalifah Abu Bakar hendak memerangi puak yang enggan membayar zakat, berpandukan hadis Rasulullah sendiri yang menerangkan: “Aku diperintah supaya memerangi manusia hingga mereka mengaku bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, sesiapa yang mengaku demikian maka terpeliharalah dirinya dan hartanya daripada diperangi, dan kira bicaranya terserah kepada Allah”. Walau bagaimanapun Sayyidina Umar pada akhirnya bersetuju dengan pendapat Khalifah Abu Bakar yang menegaskan bahawa zakat itu bukanlah merupakan cukai di zaman Rasulullah S.A.W. , tetapi adalah satu kewajipan yang termasuk di dalam salah satu rukun Islam. Zakat juga merupakan salah satu daripada sumber kewangan Negara Islam yang tidak boleh diabaikan. Apalagi gerakan orang murtad itu mengancam kedudukan Negara dan agama Islam yang mesti ditentang. Nabi-nabi palsu pula membohongi orang ramai dan menaburkan diayah-diayah jahat. Oleh yang demikian Khalifah Abu Bakar pun menulis surat kepada ketua-ketua penderhaka dan menyeru mereka supaya kembali mematuhi pemerintahan Islam di Madinah. Seruan Abu Bakar itu diterima oleh setengah golongan dan diperkecilkan oleh sebilangan besar orang murtad. Akhirnya beliau pun membentuk sebelas pasukan tentera yang masing-masing dipimpin oleh pahlawan Islam yang handal-handal. Antara mereka ialah Khalid bin Al-Walid, Akrimah bin Hisyan, Syurahbil bin Hasanah, Amru Ibnul-As, Muhajir bin Umayyah, dan lain-lain lagi. Setelah berperang dengan hebatnya, akhirnya golongan murtad ini dapat dihancurkan, nabi-nabi palsu dapat dibunuh dan kebanyakan dari pengikutnya kembali semula kepada agama Islam. Tentera Islam pun kembali ke kota Madinah setelah ramai antara mereka gugur syahid. Dengan demikian bulatlah penyatuan Islam di tanah Arab, dan bertambah kuatlah pegangan mereka kepada agama Islam. Kejayaan ini menyebabkan ahli sejarah menyatakan bahawa Abu Bakar adalah penyelamat utama Negara Islam.
Share:

Saturday, November 7, 2015

TPPA. APA KATA AGUS YUSOF

SAYA menerima banyak permintaan dari sahabat supaya menulis tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement yang akan ditandatangani pada Oktober nanti. Pada mulanya saya tidak mahu menulis tentang isu ini kerana mahu serahkan kepada pakar ekonomi untuk menulis mengenainya. Tetapi apabila tidak ada ulasan yang saya harapkan, maka saya menulis juga untuk memberi pencerahan kepada kawan-kawan supaya kita semua tahu tentang inti Perjanjian ini dan kesannya kepada kita.
TPPA adalah perjanjian multilateral terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. TPPA ini alah tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep globalisasi.
Masalahnya dengan TPPA ini ialah semua perbincangannya dibuat secara rahsia dan semua teks perbincangan adalah rahsia sehinggalah selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini meletakkan rakyat dalam kegelapan, sesuatu yang cukup pelik dalam sebuah dunia terbuka tanpa sempadan.
Apabila ditanya mengapa dirahsiakan, jawapan kerajaan adalah standard: Perjanjian ini baik untuk negara kerana memudahkan barangan kita untuk memasuki pasaran luar. Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa teks perjanjian yang sedang dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan umum? Mengapa perlu berahsia?
Saya tanyakan hal di atas kerana terdapat beberapa klausa dalam TPPA ini yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyat dan negara dan cukup membimbangkan saya. Untuk maklumat ringkas, di bawah ini saya perturunkan beberapa kesan negatif yang perlu sangat kita ketahui:
i. Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan menyukarkan pesakit berpendapatan rendah dan sederhana kerana kos untuk mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi. Bayangkan jika seorang guru menghidap penyakit barah yang memerlukan ubat bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka untuk membayar kos perubatan semahal itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara kita nanti?
ii. Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara kita menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi dari luar negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing mengatasi kepentingan rakyat kita. Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara maju seperti AS, Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.
iii. Kerajaan boleh disaman oleh pelabur luar di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva jika terdapat dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak pelabur luar dan menghalang aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.
iv. Petani kita terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.
v. TPPA juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan persaingan pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?
vi. TPPA melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan rujukan dari 50 tahun selepas kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna segala bahan-bahan rujukan yang kini percuma dan telah didigitalkan akan menjadi terhad kepada pengguna. Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli atau wajib dibayar sewa, sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang kurang mampu.
Justeru implikasi TPPA ini besar kepada rakyat dan negara, maka saya merayu supaya kerajaan mengambil tindakan berikut terlebih dahulu sebelum memetarai perjanjian ini. Antaranya:
i. Menangguhkan perundingan TPPA sehingga segala teks mengenainya didedahkan kepada rakyat untuk mendapatkan maklumbalas. Rakyat berhak tahu dan diberi hak memberi pandangan kerana perjanjian ini melibatkan kualiti hidup mereka.
ii. Ahli parlimen perlu diberi pencerahan dan perlu membahaskan baik buruk Perjanjian ini. Semasa membahaskan hal ini, ahli parlimen perlulah melihat Perjanjian ini dari aspek kebaikannya untuk rakyat dan negara, bukannya berterusan terikat kepada kepentingan parti.
iii. Kerajaan mesti menolak status layanan tempatan yang perlu diberikan kepada syarikat gergasi luar.
Saya akui TPPA ini ada baiknya untuk negara kerana kita bergantung kepada kemasukan pelaburan luar untuk memacu ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kesan perjanjian ini, saya dapati perundingan TPPA ini perlu disemak semula dengan teliti oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Sekiranya kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari kebaikan, maka masih belum terlewat untuk kita menarik diri daripada Perjanjian ini.
Harapan saya cuma satu dari keputusan muktamad yang bakal diambil oleh kerajaan nanti: Jangan biarkan anak cucu kita tergadai melalui perjanjian yang bersifat globalisasi ini. Jangan biarkan menang sorak kampung tergadai.
Share:

Monday, October 19, 2015

HARAPAN BARU DENGAN MESYUARAT

Hidup dalam sebuah masyarakat,manusia yang mempunyai pelbagai gaya, corak dan perinsip tersendiri amat sukar dipimpin kecuali masing masing meletakkan satu wadah dan misi untuk dicapai. oleh itu, sikap toleransi haruslah dipakai bagi mencapai sesuatu objektif. sekiranya sesuatu keputusan dibuat atas dasar pendapat sendiri atau kebaikan yang dijangkan bernas tanpa memikirkan pandangan orang lain akan mengakibatkan keputusan yang tidak memuaskan.
       Oleh itu, Islam meletakkan kaedah bermusyuarat atau berbincang dalam semua hal kerana disana akan membuahkan hasil yang dikirakan terbaik dan mendapat keberkatan disisi Allah. Dalam pada itu,  Rancangan yang baik perlu penelitian agar setiap rangka perancangan dapat dianalisakan yang terbaik meskipun ada kekurangan yang berlaku.contoh terdekat ialah  dalam sebuah keluarga, suami isteri mestilah melakukan kaedah ini bagi memusatkan kata terbaik dalam permasalahan atau perancangan rumah tangga. tidak akan menyesal bagi mereka yang bermusyarat walaupun keputusan itu tidak memihak kepada keinginan peribadi. namun bila mana keputusan dibuat hendaklah dilakukan sebagaimana yang dirancangkan. hal ini akan mendapat keputusan yang baik dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.
       Satu kaedah bila mana keputusan mesyuarat telah dibuat maka hendaklah beristiqfarlah mana mana mereka yang mencadangkan pendapat tersebut kerana bercakap memang senang namun untuk menunaikannya adalah perkara yang sukar. begitu juga bagi mereka yang mengeluarkan pendapat tetapi pendapat mereka itu tidak diterima dalam mesyuarat maka haruslah menyucapkan alhamdulillah.

Share:

Sunday, October 18, 2015

SENYUM DALAM SERIBU PENGERTIAN

       
Bila seseorang itu dapat mengukir senyuman terhadap orang lain, satu petanda baiknya akhlak seseorang itu. sememangnya itulah sepatutnya dicorakkan oleh peribadi muslim sejati. kerana senyuman itu adalah perkara yang disarankan oleh Rasulullah dalam ungkapan yang ringkas iaitu senyum adalah sedekah.
       persoalan adakah ukiran senyuman itu benar benar ikhlas atau tidak? kadangkala kita dipaksa untuk senyum namun pada hakikatnya hati kita yang mengetahuinya. tidak bermakna jahat bila seseorang itu pandang tanpa senyuman kerana kemungkinan mereka kabur matanya atau dia tidak mengenali seseorang . namun menjadi buruk dan padah bila luntaran pandangan diberikan kepada mereka yang kenali itu tanpa ukiran bunga senyuman manis.
       mata memberi pandangan kepada seseorang namun pemerimaan pemberian itu tidak dibalas dengan  unggapan yang baik. hal ini bergantung kepada sejauh manakah kefahaman hati terhadap gerak geri pandangan mata yang melihat. mata melihat namun akal dengan susulan ilmu yang menafsirkan yang sebenar. namun riaksi  yang kurang sopan bila hati menilai akhlak seseorang walaupun mulut diam seribu bahasa.
     hakikatnya ukirlah seribu senyuman, usah beduli berapa juta yang kita terima.
Share:

Monday, October 12, 2015

KEMBALIKAN HATIMU KE MASJID

         
Sepanjang pemerhatian penulis sejak menjadi orang bermukim di Kg Karangan Kuala Krai, ada beberapa perkara yang merupakan perkara perlu diutamakan dan diambil perhatian ialah masalah perpaduan dalam ibadat dan muafakat membentuk syakhsiah yang baik. sebuah kampung tempat yang terbaik ialah di Masjid. sekiranya Masjid keluasan isipadu yang luas jika dibandingkan dengan keluasan rumah penduduk di sekitarnya. namun apa yang menarik perhatian penulis ialah mereka yang datang untuk beribadat di dalamnya hanya mudah dibilang dengan jari sedangkan  penduduknya adalah di kalangan umat Islam. kenapa keadaan ini terjadi adakah mereka tidak lagi mempedulikan masjid. atau mereka sudah  tidak berhajat lagi kepada tuan punya Masjid?

Ada orang yang rumahnya hampir dengan Masjid tetapi tidak mampu mendatanginya. Sebaliknya, ada orang yang rumahnya jauh dari masjid tetapi mampu mendatanginya. ini semua soal iman dan hati umat Islam.

di manakah umat Islam? adalah rumahmu yang didiami itu sudah merasakan cukup indah berbanding berada di Masjid?
Share:

Friday, August 28, 2015

PENGERTIAN KEMERDEKAAN

Tinggal dua hari lagi negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-58
. Seperti kelaziman, apabila tibanya tanggal 31 Ogos pada setiap tahun, pelbagai acara diadakan bagi memperingati dan meraikan tarikh keramat Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah.
Namun demikian, dalam meraikan sambutan berkenaan, sejauh manakah rata-rata kita sebagai rakyat Malaysia menghayati roh kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar? Adakah pengisian program sambutan kemerdekaan yang dilaksanakan sejak lebih lima dekad yang lampau benar-benar mampu menzahirkan sebuah kerangka masyarakat yang bukan sahaja negaranya merdeka, bahkan juga merdeka dari pelbagai aspek seperti ekonomi, politik, sosial dan paling utama merdeka dari segi sikap dan tinglahlaku?

Apabila menyentuh mengenai kemerdekaan dari sudut ekonomi, politik dan sosial, ia pastinya berbalik kepada persoalan tunjang yakni sikap dan tingkahlaku yang terlebih dahulu perlu dimerdekakan. Ini kerana, apalah ertinya kita berada dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sekiranya sikap dan tingkahlaku kita masih lagi dibelenggu dan dijajah oleh sifat-sifat mazmumah yang pastinya sekali gus boleh merencatkan proses pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang sewajarnya seiring dengan kerangka Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Seharusnya, setelah berdekad-dekad lamanya negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan, pemikiran dan tingkahlaku kita juga perlulah jauh lebih merdeka dan terkehadapan selari dengan tempoh merdekanya negara daripada cengkaman penjajah. Namun, malangnya didapati pemikiran, sikap dan tingkahlaku segelintir kita pada hari ini masih lagi belum mencapai kemerdekaan dalam erti kata sebenar yakni berpaksikan acuan sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam.

Buktinya, kita masih lagi terkepung dengan pelbagai masalah sosial seperti perzinaan, pembuangan bayi, penagihan dadah, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya sehingga ia dilihat sedikit sebanyak mencalarkan imej negara sebagai sebuah negara merdeka yang sewajarnya juga bebas daripada permasalahan-permasalahan sosial seumpama ini.

Mengapakah situasi sedemikian berlaku? Adakah program-program yang dianjurkan semasa sambutan hari kemerdekaan selama ini gagal membentuk perilaku yang positif dalam diri setiap anggota masyarakat terutamanya golongan muda kita pada hari ini yang seharusnya menjadi pelapis yang berguna kepada agama, bangsa dan juga negara pada masa hadapan?

Jika benar ianya gagal, maka seharusnya transformasi perlu dilakukan agar program-program semasa sambutan hari kemerdekaan yang dianjurkan pada tahun ini dapat memberi manfaat yang maksimum kepada rata-rata kita khasnya dalam menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar-benarnya dan tidak terpesong daripada landasan sebagaimana yang telah ditekankan dalam syariat Islam.

Justeru, bagaimana sambutan hari kemerdekaan perlu disambut sewajarnya diperhalusi kembali agar setiap pengisian sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini dan pada masa-masa yang akan datang lebih menepati roh Islam.  Jika selama ini, acara sambutan hari kemerdekaan banyak didominasikan oleh konsert-konsert yang melalaikan sehingga boleh mengundang kepada perlakuan-perlakuan yang tidak sihat dan sumbang, maka ia perlu digantikan dengan acara-acara yang lebih bermanfaat seperti program-program bercorak keagamaan dan kerohanian agar sifat-sifat mahmudah dapat diterap dan ditanamkan ke dalam diri setiap lapisan anggota masyarakat. 

Lebih malang lagi, jika sebaik sahaja tamatnya sesuatu acara sambutan hari kemerdekaan, ia diteruskan pula dengan sambutan secara individu atau berkumpulan terutamanya oleh segelintir muda-mudi yang ternyata masih mentah dalam memahami makna sebenar sebuah kemerdekaan dengan menganjurkan parti-parti liar yang boleh menjerumuskan mereka kepada kemaksiatan dan pelbagai pengaruh buruk yang lain. Ia pastinya tersasar daripada matlamat sebenar sambutan hari kemerdekaan yakni agar rata-rata rakyat Malaysia menghayati hari bersejarah tersebut dalam konteks pengertian yang sebenar.

Apatah lagi jika program-program yang dianjurkan juga turut menyumbang kepada berlakunya permasalahan lain seperti pencemaran akibat daripada pembuangan sampah sarap seperti pembungkus atau pembalut makanan, tin-tin dan kotak minuman di merata-rata tempat semasa sesuatu konsert sedang berlangsung. Ia sudah tentu akan mencacatkan pemandangan setelah selesainya acara berkenaan dan kos yang besar perlu diperuntukkan  bagi mengupah pihak-pihak tertentu untuk membersihkan semula kawasan-kawasan yang terlibat. Tidakkah ia sedikit sebanyak merugikan negara apabila terpaksa mengeluarkan kos semata-mata untuk tujuan tersebut yang sepatutnya boleh diuruskan tanpa sebarang kos jika rata-rata rakyatnya mempunyai sikap dan jiwa merdeka dalam erti kata yang sebenar. 

Mungkin ia akan berlaku sebaliknya jika acara sambutan hari kemerdekaan diisi dengan program-program berbentuk ilmiah dan kerohanian. Umpamanya pelbagai masalah sosial dan pencemaran akan lebih terkawal dan dapat diminimumkan. Ini kerana, ironinya program-program seumpama itu sendiri secara tidak langsung dapat menghindarkan daripada sebarang bentuk kelalaian serta mampu mendidik sikap dan tingkahlaku setiap anggota masyarakat untuk lebih beretika dalam setiap tindak-tanduk sepanjang program berlangsung.

Selain itu, kita juga dapat difahamkan dengan konsep kemerdekaan yang sebenar dan tidak hanya terhad kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Sebaliknya ia turut dapat diperluas dan diaplikasikan dalam pelbagai aspek lain dan tidak terkecuali juga dari segi tingkahlaku terhadap alam sekitar. Apabila tingkahlaku yang baik terhadap alam sekitar dapat dibentuk, maka pastilah alam sekitar juga akan selamat dan merdeka daripada sebarang bentuk ancaman kemusnahan. Justeru, sudah tiba masanya setiap pihak melakukan transformasi dalam pemilihan acara sempena sambutan hari kemerdekaan agar erti kemerdekaan dapat difahami dengan sebaik-baiknya bukan sahaja oleh generasi lama tetapi juga oleh generasi baru.

Mudah-mudahan dengan transformasi yang dilakukan kelak, ia diharap dapat merobah persepsi salah terutamanya dalam kalangan muda-mudi kita berhubung pengertian sebenar kemerdekaan. Mereka seharusnya dicelikkan bahawa kemerdekaan bukan sahaja tertumpu kepada kebebasan negara daripada cengkaman penjajah semata-mata. Sebaliknya, kemerdekaan dari sudut pemikiran, sikap dan tingkahlaku mereka daripada sebarang bentuk sifat-sifat yang boleh menghakis nilai-nilai murni dan jati diri sebagai seorang Muslim yang perlu diberi perhatian dan keutamaan.
Share:

Saturday, July 11, 2015

Rajasthan 1436h

Coretan novel Ramadhan 1436H

Aku lihat RAMADHAN seperti kejauhan.....ku hulurkan tangan hanya senyuman terukir,bila ku tanya "hendak kemana?
dengan lembut ia berkata," Aku harus pergi,Jauh dan lama" mungkin kita bertemu atau tidak.
Ramadhan berbicara lagi, "Tolong sampaikan pesanku untuk semua orang taman sukma yang ku kenali,
"syawal akan tiba sebentar lagi,ajaklah SABAR untuk menemani hari-hari dukanya, dakap eratlah ISTIQAMAH saat ia kepenatan dalam perjalanan TAQWA, bersandarlah sekuat-kuatnya pada TAWADHU, saat kesombongan menyerang dari pelbagai hala, mintalah nasihat QURAN DAN SUNNAH di setiap masalah yang dihadapi........
sampaikan juga salam dan terima kasihku untuk para pengunjung masjid ikhwanul Islam kerana telah menyambutku dengan kesyukuran dan sukacita dapat mengumpul ganjaran berganda dan melepas kepergiaanku dengan pilu dan derai air mata....
semoga Allah menerima segala amalan kalian....
kelak akan ku tunggu dengan setia dan kusambut di SYURGA dari pintu AR RAYYAN..."
SABAHAT-SABAHAT sekalian,tak kira kecil,muda dan veteran kamu sambut aku dengan TADARUS AL-QURAN,walaupun aku dengar tak semuanya betul bacaan, tapi tak ape.semoga  kau belajar sedikit demi sedikit.
selamat meraih pahala terbaik di detik-detik terakhir RAMADHAN.....
masih ada dua atau tiga hari lagi sebelum RAMADHAN pergi.....
Doaku buat kalian semua yang dikasihi:
"Ya Allah , andai di hari ini ada diantara hamba-hambamu yang akan engkau angkat darjatnya, akan engkau ampuni dosa-dosanya, akan engkau lapangkan rezekinya, akan engkau muliakan keturunannya, akan engaku indahkan akhlaknya, akan engkau berkahi segala hartanya, akan engkau lepaskan dari semua kesulitannya terutama dari bakaran api NERAKA......
maka dengan izinMu yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani dan Maha Mulia, jadikanlah kami dan seluruh warga taman sukma memperolehi maghfirah Ilahi....


amin amin ,,,,sekian.

Share:

Tuesday, March 3, 2015

Pengajaran dari al quran

Sejarah manusia sebagai khalifah

Ayat Allah SWT yang disyarahkan setiap minggu dalam rancangan Ibrah oleh Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman di IKIMfm, jam 5.15 petang setiap Isnin, ternyata cerita yang terakam kemas dalam 30 juzuk ayat al-Quran mempunyai ibrah yang terlalu banyak.

Ramai ulama telah mengarang kitab tafsir dan digunakan sebagai rujukan hingga ke hari ini. Malah, kitab itu juga menjadi panduan sebahagian besar daripada kita untuk mengkaji dan mendalami ilmu tafsir bagi mendekatkan jiwa dengan al-Quran.

Tidak kira sama ada ditafsirkan oleh Imam Ibnu Kathir, Sayyid Qutb, Ibnu Jarir at-Tabari, Ibnu Abi Hatim, Imam Qurtubi atau Imam Ar-Razi, tafsir yang ditulis memberi pengajaran yang hebat dan luar biasa.

Meneliti ayat yang disandarkan Allah SWT dalam al-Quran, rancangan Ibrah telah mentafsirkan beberapa cerita dan ibrah di sebalik kisah beberapa nabi serta rasul diutuskan Allah SWT yang berdepan dengan pengikut mereka masing-masing.

Memahami episod penciptaan manusia

Program Ibrah kali ini berkongsi dialog mengenai Nabi Adam, manusia pertama yang diciptakan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah di muka bumi. Selain itu, kita mengetahui kisah pertemuan Nabi Adam dan Saidatina Hawa di Jabal Rahmah sebagai teladan bagi memahami episod penciptaan manusia.

Kisah Nabi Adam dalam al-Quran melalui beberapa peringkat. Peringkat pertama adalah dialog Allah SWT dengan malaikat. Kemudian, peringkat kedua dialog Allah SWT dengan Iblis dan ketiga, dialog antara Allah SWT dengan Nabi Adam, isterinya serta iblis, manakala terakhir adalah dialog anak Nabi Adam.

Dialog Allah dengan malaikat mengenai kejadian Nabi Adam diungkap melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya." (Surah al-Hijr, ayat 28)

Kemudian, setelah sempurna kejadian Nabi Adam, Allah SWT telah mengarahkan malaikat sujud kepada Nabi Adam. Firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian apabila aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari ciptaan-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya." (Surah al-Hijr, ayat 29)

Malaikat tidak pernah membantah permintaan Allah SWT. Atas dasar itulah malaikat diberi keistimewaan sehingga diciptakan daripada cahaya yang amat bernilai. Malaikat sujud kepada Nabi Adam atas arahan Allah SWT tetapi Iblis mengingkari arahan-Nya.

Ini dikisahkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, dia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud." (Surah al-A'raaf, ayat 11)

Kejadian Nabi Adam adalah dimuliakan. Malah, pelantikan Nabi Adam sebagai khalifah juga adalah kehendak Allah SWT untuk menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Allah SWT berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Kemudian, malaikat menjawab dengan katanya: Adakah Engkau (Ya Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Lalu, Allah menjawab persoalan itu dengan menyatakan: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Kesempurnaan dijadikan Nabi Adam sebagai khalifah di muka bumi membawa maksud yang mendalam. Manusia seharusnya merenung sejauh mana mereka telah menjalankan amanah, tanggungjawab dan peranan sebagai khalifah.

Sering kali kita membicarakan persoalan berkenaan khalifah tetapi sejauh mana kita mengetahui tugas selaku khalifah? Apakah hanya mendapat gelaran dan jawatan sebagai seorang khalifah tetapi kita tidak mengetahui apa harus dilaksanakan oleh khalifah? Persoalan inilah menjadi asas dalam membentuk pemikiran sebenar mengenai hakikat kejadian.

Kemudian, Allah SWT telah mengajar nama benda kepada Nabi Adam, lalu Baginda menyebut nama itu seperti yang diajarkan malaikat kepadanya. "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar." (Surah al-Baqarah, ayat 31)

Malaikat menjawab dengan kata mereka dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Maha Suci Engkau (Ya Allah) Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jugalah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Baqarah, ayat 32)

Rahsia di sebalik penciptaan

Setiap penciptaan itu mempunyai rahsia tersendiri. Penciptaan manusia daripada tanah, kemudian Allah SWT mengarahkan malaikat bersujud kepada Nabi Adam juga mempunyai sebab yang kita tidak ketahui. Dalam pensyariatan agama Islam yang suci ini, manusia tidak mampu menilai tujuan dan sebab setiap sesuatu ketetapan daripada Allah SWT itu.

Kita hanya mampu melaksanakan tanggungjawab dan tugas tanpa membantah kerana malaikat pun turut bersujud kepada Nabi Adam apabila diarahkan Allah SWT. Justeru, bagi menjadikan kita benar-benar memahami tujuan hidup dengan sebenarnya, kita perlu menjadikan kisah Nabi Adam dan malaikat sebagai teladan.

Usah bersandarkan perangai iblis yang mengingkari arahan Allah SWT untuk bersujud. Ini dinyatakan dengan bongkak oleh iblis seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku dari api, sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (Surah al-A'raaf, ayat 12)

Penilaian kejadian manusia bukanlah sebab kita dijadikan tetapi mengapa kita diperintahkan untuk beriman itu adalah lebih utama.

Penulis ialah penyampai dan penerbit rancangan radio IKIMfm

Share:

Friday, January 30, 2015

Sabar bila musibah melanda

Pada 21 Disember 2015,aku bersama isteri pulang ke kuarters di sk kampong karangan, pada sebelah malam kami sampai dengan mudah memasuki jalan ke sana,namun setelah masuk pok gak telah memberitahu bahawa jalan keluar telah dipenuhi air.laluan kereta tidak boleh lalu.
        bermula saat itulah,kami terkurung tidak keluar.air semakin naik dan sampai ke paras yang membahayakan.tingkat satu sehingga ke tingkat dua dan tiga. air memenuhi ruang bilik bawah.
aku ingat  sepatah ayat yang berbunyi dalam surah al baqarah ayat 155.
ولنبلونكم بشئ من الخوف والجوع ونقص من الاموال والانفس والثمرات وبشر الصابرين.
maksudnya:

kami mendatangkan kepada kamu dengan bala daripada ketakutan,kelaparan,kekurangan harta benda jiwa dan buah buahan. maka sampaikan berita gembira bagi orang yang sabar.

Share:

Definition List

get this widget here

Unordered List

Sembang