Sesungguhnya mati jasad kerana roh, mati roh kerana tiada ilmu. Mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada istiqomah. Menuntut ilmu adalah taqwa... menyampaikan ilmu adalah ibadah... mengulang ilmu adalah zikir... mencari ilmu adalah jihad... ........ ~al-qhazali~

Sunday, November 27, 2016

RUU DILULUSKAN

RUU 355: Pendirian Presiden MCA dialu-alukan

27 November 2016.

1. Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden MCA dalam satu laporan yang menyatakan bahawa MCA tidak menentang RUU 355 yang diusulkan oleh YB Marang. Tetapi mahukan ia dilaksanakan menurut kerangka perlembagaan.

2. Menurut Malaymailonline; "MCA president Datuk Seri Liow Tiong Lai today said that the party did not oppose the PAS’ private bill seeking to empower the Syariah courts. He said there had been a misunderstanding on MCA’s stand on the matter.

“I think there have been a lot of misunderstandings, saying that we oppose the bill. We just want it to be implemented according to the constitution."

- See more at: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/mca-not-against-act-355-says-liow#sthash.0roMdkRU.dpuf

AKTA 355 (1965) ADALAH BERPERLEMBAGAAN

1. Suka saya jelaskan bahawa "Akta 355 Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah" telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1965 bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan kadar hukuman jenayah Syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan, dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.

2. Ia adalah selaras dengan perlembagaan Malaysia dengan mengambil punca kuasa daripada Butiran 1, Senarai II - Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan iaitu:

 "...keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang­-undang persekutuan;..."

PINDAAN AKTA 355 (1984) ADALAH BERPERLEMBAGAAN

1. Akta 355 (1965) kemudian dipinda pada 1984 dengan ditingkatkan kadar hukuman daripada 6 bulan penjara kepada 3 tahun penjara, daripada 1000 ringgit denda kepada 5 ribu ringgit denda dan ditambah pula 6 kali sebatan.

2. Ia telah berkuatkuasa dengan mengikut perlembagaan sehingga ke saat ini di Mahkamah Syariah menerusi Enakmen Kesalahan Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia. 

RUU 355 (2016) ADALAH BERPERLEMBAGAAN

1. Selama tempoh 51 tahun, Akta 355 bermula 1965 sehingga pindaan 1984 sehingga hari ini adalah selaras dengan perlembagaan Malaysia. 

2. Begitulah juga RUU 355 yang bertujuan mengusulkan peningkatan kadar hukuman, sama seperti tujuan pindaan 1984 adalah selaras dengan perlembagaan

3. RUU 355 yang diusulkan oleh YB Marang kali ini pada 24hb November 2016 adalah bagi meningkatkan kadar hukuman dalam Akta 355 pindaan 1984 (semakan 1988) yang terpakai sekarang daripada:

i. daripada penjara 3 tahun kepada penjara 30 tahun.

ii. daripada 5 ribu ringgit denda kepada 100 ribu ringgit denda

iii. daripada 6 kali sebatan kepada 100 kali sebatan menurut tatacara sebatan Syariah.

4. Sebagaimana peningkatan kadar hukuman pada pindaan 1984 adalah mengikut perlembagaan demikianlah RUU 355 yang bertujuan meningkatkan kadar hukuman juga adalah berperlembagaan.

IMPLIKASI

1. Untuk makluman, dengan cadangan pindaan ini, 3 kesalahan Syariah yang telah sedia disenaraikan sebagai kesalahan jenayah Syariah dalam Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri sekarang dapat ditingkatkan selaras menurut undang-undang Syariah yang sebenar iaitu:

i. 100 sebatan Syariah bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin.

ii. 80 sebatan Syariah bagi kesalahan Qazaf dan 

iii. 40 hingga 80 sebatan Syariah bagi kesalahan minum minuman memabukkan.

2. Sebatan Syariah pula jauh lebih ringan berbanding sebatan sivil. Roh pada pelaksanaannya ialah menimbulkan keinsafan dan pengajaran. Sebatan Syariah tidak melukakan kulit apatah lagi daging, berbeza dengan sebatan sivil yang menyakitkan serta mencederakan.

3. RUU 355 pula adalah melibatkan pindaan bagi undang-undang di peringkat Parlimen bagi kegunaan Mahkamah Syariah yang bidangkuasanya adalah melibatkan orang Islam sahaja.

Semoga kenyataan Presiden MCA yang tidak menentang RUU 355 membuka jalan untuk ahli-ahli politik bukan Islam berusaha untuk memahami bahawa RUU 355 yang dibawa oleh YB Marang adalah dalam kerangka perlembagaan Malaysia.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahad, 27 November 2016 

Share:

Friday, November 4, 2016

Berdoalah untuk mereka

*BERDOALAH SEKEJAP UNTUK SAUDARA KALIAN DI MYANMAR YANG DISEMBELIH HINGGA SAAT INI*

Saudara se-Islam di Arakan Myanmar diperlaku seperti haiwan, dibunuh, disembelih, dibakar, dipotong anggota badan dan pelbagai macam kezaliman.

Jika kalian punyai iman, hati dan perasaan, luangkanlah masa berdoa menadah tangan, memohon agar saudara kalian diberi pertolongan Al-Rahman.

*اللهم إنا نستغيث بك اليوم فأغثنا ونستنصرك اليوم فانصرنا وندعوك فاستجب لنا برحمتك نستغيث*

_Ya Allah, kami sangat memerlukan bantuan-Mu pada hari ini, maka berilah bantuan kepada kami, kami memohon pertolongan dengan-Mu pada hari ini maka tolonglah kami, kami memanjatkan doa kehadrat-Mu, maka mustajablah permohonan kami, dengan rahmat-Mu kami memohon bantuan_

*اللهم عليك بمن قاتل إخواننا المسلمين المستضعفين في ميانمار اللهم عليك بمن كان معهم ومن أيدهم ومن تآمر علی إخواننا معهم*

_Ya Allah, hapuskanlah puak-puak yang membunuh saudara se-Islam kami di Myanmar, hapuskanlah sekutu mereka, orang yang menolong mereka dan yang berpakat dengan mereka untuk bunuh saudara kami_

*اللهم أرنا فيهم قدرتك و عطل أسلحتهم وأضعف قوتهم و سلط عليهم سيف انتقامك وأليم عذابك و دمر قوتهم واحم المسلمين من أعداء الدين*

_Ya Allah, tunjukkanlah keagongan kuasa-Mu ke atas mereka, bantutkan semua senjata mereka, lemahkan kekuatan mereka, hunuskanlah pedang kemurkaan-Mu dan azab pedih ke atas mereka, hancurkan kekuatan mereka dan peliharalah umat Islam daripada musuh-musuh agama_

*اللهم إن إخواننا الشهداء قد مضوا إلى حالهم وسبقونا بأعمالهم الصالحة ، فاجعل مأواهم في أعلى عليين و أبدلهم بمصابهم يوم القيامة أجرا عظيما برحمتك يا أرحم الراحمين*

_Ya Allah, saudara-saudara kami yang syahid telah meninggalkan kami dan mendahului kami dengan amalan-amalan soleh mereka, maka tempatkanlah mereka di setinggi-tinggi illiyyin dan berilah gantian ke atas musibah yang menimpa mereka dengan sebesar-besar ganjaran di akhirat kelak dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihi_

*#DoaSenjataMukmin*
*#WajibDoaUntukMusliminArakan*

_~Asri Ed-Diwanie_

Share:

Wednesday, November 2, 2016

DAP BEKERJASAMA DENGAN PAS

*HARI INI DALAM SEJARAH PAS*

*DAP NYATAKAN KESEDIAAN BEKERJASAMA DENGAN PAS (1 NOVEMBER 1985)*

PADA hari ini dalam tahun 1985, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh yang dijangka akan diadakan dalam tahun 1986. Lim Kit Siang membuat kenyataan demikian setelah Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad mempertegaskan bahawa PAS akan menghapuskan sistem kuota kemasukan pelajar ke universiti jika PAS menguasai kerajaan. Kenyataan pemimpin PAS dilihat oleh DAP sebagai selari dengan dasar Malaysian Malaysia yang menekankan soal merit berbanding kuota.

Isu hubungan PAS-DAP telah berbangkit dalam PAS semenjak sebelum Pilihan Raya Umum 1982 lagi. Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 29 Januari 1981 pernah mencadangkan supaya PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pilihan Raya Umum tersebut sebagai lanjutan daripada kerja sama PAS dengan MCA dan MIC ketika berada dalam BN. Tetapi pandangan ini ditentang keras oleh pimpinan dan ahli PAS, terutama Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu pada 14 Februari 1981 telah mengugut untuk meletak jawatan jika PAS bekerjasama dengan DAP demi memastikan "pengikut-pengikut PAS tidak terpesong dari aqidah Islam." Di kalangan ahli-ahli PAS di Kelantan dan Terengganu, mereka bukan sahaja membantah, tetapi 53 buah ranting PAS telah diancam dengan pembubaran.

Kegagalan hubungan dengan MCA, MIC dan Gerakan dalam BN, yang diikuti oleh penolakan ahli-ahli PAS terhadap DAP telah mendorong Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983 mengambil keputusan supaya PAS mendekati orang-orang bukan Islam, dan penegasan Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa dalam Ucapan Dasarnya pada muktamar ini supaya PAS memecahkan tembok pemisah di antara PAS dengan orang bukan Islam, telah membuka langkah baru PAS. Pada awalnya, PAS menawarkan dialog kepada MCA pada 15 Oktober 1984, tetapi tidak mendapat sambutan baik dari parti perkauman Cina itu. Ekoran itu, PAS menganjurkan Simposium Islam dan Persoalan Perpaduan Negara pada 10 Februari 1985, di mana Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menegaskan bahawa orang Cina boleh memimpin negara ini jika dia seorang Islam yang "wara' dan mempunyai kelayakkan sebagai pemimpin Islam."

Pada 10 Oktober 1985, dalam Simposium Negara Islam yang dianjurkan oleh PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjelaskan bahawa kerajaan Islam yang didukung oleh PAS akan memberikan hak dan perlindungan kepada orang bukan Islam secara adil dalam semua perkara. Dalam pada itu juga, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah menjelaskan bahawa jika PAS memerintah, sistem kuota dalam pengambilan pelajar universiti akan dihapuskan supaya semua kaum mendapat hak secara seimbang. Pandangan-pandangan PAS yang berasaskan keadilan Islam tanpa sentimen perkauman ini telah perhatian para pemimpin DAP.

Memberi respon terhadap keterbukaan dan keadilan sistem pemerintahan Islam yang ditawarkan oleh PAS, pada 1 November 1985, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan DAP untuk bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh. Terdahulu, pendirian PAS itu disokong oleh Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin, yang menyebabkan cadangan Lim Kit Siang supaya DAP dan PAS bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh turut didukung oleh Karpal Singh. DAP kemudiannya mengarahkan Timbalan Setiausaha Agungnya, P Patto agar mengaturkan dialog antara DAP dengan PAS dan PSRM bagi mencapai tujuan tersebut. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa pada 24 Disember 1985 menyatakan kesediaan PAS terhadap kerjasama ini, tetapi ia tidak menjadi kenyataan sehingga tertubuhnya gabungan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 14 Julai 1986.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 November 2016

Sumber: https://www.pas.org.my/arkib/hari-ini-dalam-sejarah-pas/9806-hari-ini-dalam-sejarah-pas-dap-nyatakan-kesediaan-bekerjasama-dengan-pas-1-november-1985

Arkib Hari Ini Dalam Sejarah PAS:
pas.org.my/arkib/hari-ini-dalam-sejarah-pas

�� Centralized PAS Portal (CPP)
    pas.org.my

�� Like Facebook PAS Pusat
�� facebook.com/paspusat
�� Subscribe Telegram
�� http://tinyurl.com/PASPusat
�� http://tinyurl.com/PASPusatBot
�� Follow twitter PAS Pusat
�� www.twitter.com/PASPusat
�� Follow Instagram PAS Pusat
�� instagram.com/paspusat

�� Sebarkan seluas-luasnya….
Terima Kasih.

Share:

Bagaimana cara kerajaan mengatasi masalah?

Buat apa bila minyak masak kurang?
SUBKY LATIF | 31 Oktober 2016.

KATA kerajaan minyak masak cukup. Tapi tinjuan yang media buat minyak masak tak cukup di seluruh negara.
     
Tidak boleh kata kerajaan berbohong, tapi ramai tidak dapat beli kerana ia dikatakan tidak ada.
     
Kita pernah menghadapi kekurangan gula. Lalu ada kempen segera di media termasuk TV. Kurangkan pengambilan gula kerana ia boleh menyebabkan kencing manis.
   
Apabila bekalan gula mencukupi kempen kurang makan gula dihentikan. Pengguna semula jadi macam semut, mandipun dengan air gula. Tiada lagi takut kena kencing manis.
   
Apabila petrol kurang dan naik harga. Ada cadangan berkongsi kenderaan ke tempat kerja. Atau kurangkan penggunaan motokar. Jika tempat kerja tidak jauh dari rumah, berbasikal dan berjalan kaki ke tempat kerja, ke masjid dan ke pasar.
   
Kurangkan penggunaan van jenazah. Kembali ke musim lampau keluarga dan sahabat handai usung jenazah ke kubur.
   
Garam belum pernah kedengaran kurang. Kalau tidak mungkin ada kempen mengingatkan pengguna jangan banyak makan garam kerana ia menyebabkan  darah tinggi.
   
Apabila minyak kurang belum ada lagi TV, radio dan media sosial mengingatkan orang jangan banyak guna makan berminyak kerana takut kolestral dan saluran ke jantung mudah tersumbat. Banyakkan makanan berebus. Elakkan menggoreng ikan dan ayam. Banyakkan panggang dan ikan bakar. Kurangkan kuah dan gulai berminyak. Biar hari-hari guna  kuah singgang.
    
Apabila kurang beras? Kembali semua seperti zaman Jepun. Rebus ubi kayu atau pisang muda. Garut ubi atau pisang rebus muda itu, gaul ia dengan nasi jadi separuh nasi dan separuh ubi/pisang muda rebus.
   
Biar kerajaan tidak bersusah payah memikirkan bagaimana hendak mengadakan bekalan secukupnya dan persatuan pengguna dan pembangkang tidak banyak salahkan kerajaan.
    
Tapi semua kempen segera dan seketika apabila bekalan komoditi itu kurang adalah gimik kerajaan yang tidak banyak idea dan tidak bersiap siaga.
    
Apabila bekalan minyak putus, semua tahu apa yang sekalian peniaga lakukan. Naikkan harga. Selalunya apabila harga naik bekalan pun pulih. Apabila krisis sudah diatasi harga yang naik itu tidak akan turun lagi. Hinggalah bekalan itu tidak cukup lagi. Harga naik lagi. Begitulah lazimnya sejak zaman Tun Razak lagi.
     
Mungkin krisis bekalan gula, tepung, beras, susu dan lain-lain banyak bergantung pada bekalan dunia. Kita tidak jadi pengeluar secukupnya. Kita ada sawah tapi kita tidak berdikari. Kita pernah buka ladang tebu tapi tak tahu apa jadi kilang gulanya.
    
Kita adalah pengeluar kelapa sawit terbesar dunia. Kita melabur pula di negara jiran. Eksport kita tidak pernah tidak cukup. Acap harga sawit jatuh kerana kurang impot. Dan sekarang harga sawit jatuh tetapi pengeluarannya tidak berkurangan. Bekalan diteruskan sekalipun harganya murah.
    
Maka bekalan minyak masak dari kelapa sawit sepatutnya cukup dan berlebihan. Bahkan negara patutnya ada simpanan yang cukup bagi kegunaan domestik. Apabila ada tanda-tanda kurang bekalan dalam pasaran boleh cepat-cepatkan keluarkan simpanan.
    
Apabila kita kurang minyak masak, maka kita macam Arab Saudi tidak cukup petrol. Sebagai  pengeluar petrol terbesar dunia, tak mungkin Saudi putus bekalan runcit. Kalau Saudi tak mungkin putus bekalan petrol domistik, maka tak patut Malaysia tenggelam dengan minyak sawit putus bekalan.
    
Sudah nasib kita jadi itik kehausan di tengah banjir dan ayam kelaparan di negeri yang banyak sekam. Adakah sawit bukan lagi rezeki kita? – HARAKAHDAILY 31/10/2016

Share:

JAWAPAN TTG RUU355

June 1, 2016
Menjawab 10 Salah Faham Mengenai Pindaan RUU Akta 355

asyraf wajdi

Berikut adalah jawapan saya dalam sesi Dialog dan Soal Jawab dengan pemimpin-pemimpin Bukan Islam khususnya MCA dan GERAKAN Kelantan di Kota Bharu petang semalam:

1. Apa keperluan dipinda AKTA 355?

Jawapan:

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syar’ie. Kali terakhir dipinda pada tahun 1984 peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1000. Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

2. Sebatan 100 kali adalah agak melampau?

Jawapan:

Kaedah sebatan Syariah jauh berbeza dengan sebatan Sivil. Syarat sebatan Syariah tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah meletakkan buku di bawah ketiak yang tidak boleh jatuh tatkala menghayun. Justeru 100 kali sebatan Syariah tidak sama dengan 1 kali sebatan Sivil yang boleh mencederakan.

3. Akta 355 memberi kesan secara tidak langsung kepada orang Bukan Islam

Jawapan:

Orang Bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355, Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

4. Akta 355 adalah pintu belakang ke arah melaksanakan Hudud.

Jawapan:

Akta 355 tiada perkaitan dengan pelaksanaan hukum Hudud. Pelaksanaan Hudud hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Contohnya bagi melaksanakan Hudud di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan

5. Apakah Perlembagaan boleh dipinda?

Jawapan:

Boleh dengan syarat undi majoriti iaitu 2/3 Ahli-Ahli Parlimen Dewan Rakyat bersamaan 148 daripada 222 orang Ahli Parlimen bersetuju menyokong satu-satu pindaan. Realiti politik hari ini kalau digabungkan semua Ahli-Ahli Parlimen beragama Islam dari UMNO, PAS, PKR, PAN, PBB dan DAP hanya berjumlah 135 orang; tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda Perlembagaan. Bermakna Ahli-Ahli Parlimen Bukan Islam juga mempunyai hak dan kuasa bagi membolehkan hukuman Hudud dilaksanakan.

6. Apakah bahagian-bahagian penting dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda untuk laksana Hudud di Malaysia?

Jawapan:

Sekurang-kurangnya 3 bahagian Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda:

(i). Senarai II Jadual Kesembilan untuk memasukkan tambahan bidang kuasa Jenayah ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang terkandung dalam Butiran 1. Sebagai contoh undang-undang jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan kecederaan (kesalahan yang wujud dalam Penal Code) terletak di bawah kuasa persekutuan dan dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil dan polis, penjara juga terletak dibawah Persekutuan.

(ii). Selain daripada pindaan pada Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A juga perlu diperolehi bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang Jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa Persekutuan.

(iii). Perkara 8 juga perlu dipinda supaya tidak timbul isu pendiskriminasian dan ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan peruntukan undang-undang kerana berbeza agama. Dengan kata lain bagi membolehkan ada dua set undang-undang jenayah kepada orang Islam dan Bukan Islam.

7. Pindaan RUU 355 ini membolehkan undang-undang berbaur Hudud diperkenalkan.

Jawapan:

Hudud melibatkan hukuman yang menyentuh 6 jenis kesalahan; 4 bersifat individu atau dosa peribadi iaitu Zina, Menuduh Zina (Qazaf), Minum Arak dan Murtad, manakala 2 lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti Mencuri dan Merompak. Sekarang inipun 4 jenis kesalahan ini yang melibatkan dosa peribadi
(Zina, Qazaf, Minum Arak dan Murtad) sudag ada peruntukan undang-undang di bawah kuasa negeri-negeri. Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan. Jadi pindaan RUU hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri.

8. Ketidakadilan akan berlaku jika terjadi kejadian rogol yang melibatkan orang Islam dan Bukan Islam. Orang Islam dihukum di Mahkamah Syariah manakala bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Jawapan:

Rogol bukan merupakan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa Negeri kerana ia terletak di bawah kuasa Persekutuan khususnya undang-undang Penal Code atau Akta Kanun Jenayah Persekutuan.

9. Perlaksanaan Hudud akan mewujudkan situasi rakyat berhadapan dengan dua set perundangan berkaitan jenayah yang bertentangan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Jawapan:

Soalan ini tidak relevan kerana pindaan RUU Akta 355 tiada kaitan dengan Hudud mahupun hukuman jenayah di bawah Bidang Kuasa Persekutuan. Jadi tiada isu pertentangan dengan mana-mana Bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan.

10. Kenapa bukan Pihak Kerajaan yang membentangkan RUU untuk meminda Akta 355?

Jawapan:

Kerajaan terikat dengan proses dan tertib apabila melibatkan pemerkasaan Mahkamah Syariah. Keutamaan ketika ini adalah untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah daripada 3 peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana Mahkamah Sivil. Untuk itu, Menteri perlu mengadap semua Sultan-Sultan atau Raja Melayu untuk mendapat perkenan kerana kuasa agama terletak dibawah kuasa Raja-Raja Melayu. Setakat ini ada di kalangan Negeri yang belum bersetuju. Jika semua bersetuju barulah boleh dibentangkan di peringkat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen.

Dengan kata lain, walaupun Akta 355 adalah undang-undang Pesekutuan, namun ia adalah berkait secara langsung dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang terletak di bawah Kuasa Sultan/ Raja-Raja. Terdapat banyak tertib langkah yang perlu dilalui oleh Menteri termasuk meyakinkan Jemaah Menteri yang terdiri dari Parti-parti bukan Islam. Justeru bagi mengelakkan kesukaran yg mungkin boleh menjejaskan perjalanan proses pindaan Akta 355 itu, adalah lebih mudah prosesnya jika ia dimulakan sebagai Usul Persendirian.

Jika Dewan Rakyat meluluskannya untuk dibahaskan ia adalah kemahuan majoriti Rakyat dan bukannya kemahuan Kerajaan semata-mata. Kemahuan ini tidak sekali-kali menyentuh kuasa Raja-Raja kerana apa pun tahap maksimum hukuman yang diluluskan, pindaan muktamad masih perlu dilakukan di peringkat DUN.

Dalam konteks tertib yang sama berkaitan peningkatan Kuasa Hukuman Mahkamah Syariah yang hendak diperkasakan, Kerajaan terikat dengan prosedur serupa. Walau bagaimanapun Parti PAS dalam konteks ini tidak terikat dengan prosedur ini dan mereka bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan RUU ini dibentangkan.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

(Hal Ehwal Agama)

Share:

Tuesday, November 1, 2016

BAJET 2017 N KELANTAN

KEBERKATAN

Allah berfirman:-

‎ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ

Maksudnya: "Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada,kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya hubungan dengan manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan. Yang demikian itu,disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah dan mereka membunuh Nabi-Nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa melampaui (hukum-hukum Allah)." (Surah Al Imran : 112)

Keberkatan sesebuah Kerajaan bergantung kepada sejauh mana Kerajaan itu menjaga agama dengan menjaga hubungan dengan Allah(Hablun Minallah) dan hubungan dengan rakyat (Hablun Minannas).

Untuk tujuan menjaga agama,Kerajaan Negeri memperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) sebanyak RM 44.06 juta iaitu RM36.95 juta sebagai perbelanjaan mengurus dan sebanyak RM7.11 juta untuk melaksanakan pelbagai program keagamaan antaranya Ihya Ramadhan di peringkat Negeri dan Jajahan yang diperuntukkan sebanyak RM750 ribu, Tahfiz Al-Quran sebanyak RM150 ribu, perayaan Agama Islam atau Hijratul Rasul RM110 ribu, Ujian Tilawah Al-Quran RM200 ribu, Pembangunan Islam Jajahan RM150 ribu, Program Hududullah RM100 ribu, Kecemerlangan Solat RM800 ribu, Program Majlis Bersama Ulama' / Guru Pondok / Ketua Madrasah berjumlah RM200 ribu. Kelas Tafaqquh Fiddin RM90 ribu dan Kelas Tarannum Al-Quran RM50 ribu. Kerajaan juga akan terus menyediakan peruntukan sebanyak RM850 ribu untuk Program-Program Kursus Pembangunan Keluarga, Seminar dan Kursus Pra-Perkahwinan.

Kerajaan Negeri juga telah menyedia peruntukan sejumlah RM7.0 juta di bawah Pejabat Pembangunan Negeri bagi projek pembinaan dan pembaikian Masjid-Masjid seluruh negeri termasuk Pembinaan Masjid Keputeraan. Kerajaan Negeri juga masih mengekalkan sumbangan tahunan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istilah Melayu Kelantan sebanyak RM1.0 juta.

Kerajaan Negeri dalam menyatakan komitmen terhadap pentadbiran syariah di negeri ini terus memperuntukkan RM1.0 juta kepada Prasarana Material Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II dan sebanyak RM1.3 juta kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan, iaitu sebuah jabatan yang baharu yang diasingkan daripada JAHEAIK. Ia merupakan usaha pertama yang dilaksanakan seumpama ini di Malaysia dan Insya-Allah selepas daripada ini bakal menyaksikan pula pengasingan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah daripada JAHEAIK untuk menjadi satu lagi Jabatan baharu yang berasingan. Ini membuktikan bahawa prasarana dan perancangan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan perundangan syariah di negeri ini bukanlah satu retorik atau momokan kosong.

-Ucapan bajet  YAB Ustaz Dato' Menteri Besar Kelantan -

Share:

Definition List

get this widget here

Unordered List

Sembang