KEBERKATAN
Allah berfirman:-
ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ
Maksudnya: "Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada,kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya hubungan dengan manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan. Yang demikian itu,disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah dan mereka membunuh Nabi-Nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa melampaui (hukum-hukum Allah)." (Surah Al Imran : 112)
Keberkatan sesebuah Kerajaan bergantung kepada sejauh mana Kerajaan itu menjaga agama dengan menjaga hubungan dengan Allah(Hablun Minallah) dan hubungan dengan rakyat (Hablun Minannas).
Untuk tujuan menjaga agama,Kerajaan Negeri memperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) sebanyak RM 44.06 juta iaitu RM36.95 juta sebagai perbelanjaan mengurus dan sebanyak RM7.11 juta untuk melaksanakan pelbagai program keagamaan antaranya Ihya Ramadhan di peringkat Negeri dan Jajahan yang diperuntukkan sebanyak RM750 ribu, Tahfiz Al-Quran sebanyak RM150 ribu, perayaan Agama Islam atau Hijratul Rasul RM110 ribu, Ujian Tilawah Al-Quran RM200 ribu, Pembangunan Islam Jajahan RM150 ribu, Program Hududullah RM100 ribu, Kecemerlangan Solat RM800 ribu, Program Majlis Bersama Ulama' / Guru Pondok / Ketua Madrasah berjumlah RM200 ribu. Kelas Tafaqquh Fiddin RM90 ribu dan Kelas Tarannum Al-Quran RM50 ribu. Kerajaan juga akan terus menyediakan peruntukan sebanyak RM850 ribu untuk Program-Program Kursus Pembangunan Keluarga, Seminar dan Kursus Pra-Perkahwinan.
Kerajaan Negeri juga telah menyedia peruntukan sejumlah RM7.0 juta di bawah Pejabat Pembangunan Negeri bagi projek pembinaan dan pembaikian Masjid-Masjid seluruh negeri termasuk Pembinaan Masjid Keputeraan. Kerajaan Negeri juga masih mengekalkan sumbangan tahunan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istilah Melayu Kelantan sebanyak RM1.0 juta.
Kerajaan Negeri dalam menyatakan komitmen terhadap pentadbiran syariah di negeri ini terus memperuntukkan RM1.0 juta kepada Prasarana Material Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II dan sebanyak RM1.3 juta kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan, iaitu sebuah jabatan yang baharu yang diasingkan daripada JAHEAIK. Ia merupakan usaha pertama yang dilaksanakan seumpama ini di Malaysia dan Insya-Allah selepas daripada ini bakal menyaksikan pula pengasingan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah daripada JAHEAIK untuk menjadi satu lagi Jabatan baharu yang berasingan. Ini membuktikan bahawa prasarana dan perancangan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan perundangan syariah di negeri ini bukanlah satu retorik atau momokan kosong.
-Ucapan bajet YAB Ustaz Dato' Menteri Besar Kelantan -