Sesungguhnya mati jasad kerana roh, mati roh kerana tiada ilmu. Mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada istiqomah. Menuntut ilmu adalah taqwa... menyampaikan ilmu adalah ibadah... mengulang ilmu adalah zikir... mencari ilmu adalah jihad... ........ ~al-qhazali~

Wednesday, November 2, 2016

Bagaimana cara kerajaan mengatasi masalah?

Buat apa bila minyak masak kurang?
SUBKY LATIF | 31 Oktober 2016.

KATA kerajaan minyak masak cukup. Tapi tinjuan yang media buat minyak masak tak cukup di seluruh negara.
     
Tidak boleh kata kerajaan berbohong, tapi ramai tidak dapat beli kerana ia dikatakan tidak ada.
     
Kita pernah menghadapi kekurangan gula. Lalu ada kempen segera di media termasuk TV. Kurangkan pengambilan gula kerana ia boleh menyebabkan kencing manis.
   
Apabila bekalan gula mencukupi kempen kurang makan gula dihentikan. Pengguna semula jadi macam semut, mandipun dengan air gula. Tiada lagi takut kena kencing manis.
   
Apabila petrol kurang dan naik harga. Ada cadangan berkongsi kenderaan ke tempat kerja. Atau kurangkan penggunaan motokar. Jika tempat kerja tidak jauh dari rumah, berbasikal dan berjalan kaki ke tempat kerja, ke masjid dan ke pasar.
   
Kurangkan penggunaan van jenazah. Kembali ke musim lampau keluarga dan sahabat handai usung jenazah ke kubur.
   
Garam belum pernah kedengaran kurang. Kalau tidak mungkin ada kempen mengingatkan pengguna jangan banyak makan garam kerana ia menyebabkan  darah tinggi.
   
Apabila minyak kurang belum ada lagi TV, radio dan media sosial mengingatkan orang jangan banyak guna makan berminyak kerana takut kolestral dan saluran ke jantung mudah tersumbat. Banyakkan makanan berebus. Elakkan menggoreng ikan dan ayam. Banyakkan panggang dan ikan bakar. Kurangkan kuah dan gulai berminyak. Biar hari-hari guna  kuah singgang.
    
Apabila kurang beras? Kembali semua seperti zaman Jepun. Rebus ubi kayu atau pisang muda. Garut ubi atau pisang rebus muda itu, gaul ia dengan nasi jadi separuh nasi dan separuh ubi/pisang muda rebus.
   
Biar kerajaan tidak bersusah payah memikirkan bagaimana hendak mengadakan bekalan secukupnya dan persatuan pengguna dan pembangkang tidak banyak salahkan kerajaan.
    
Tapi semua kempen segera dan seketika apabila bekalan komoditi itu kurang adalah gimik kerajaan yang tidak banyak idea dan tidak bersiap siaga.
    
Apabila bekalan minyak putus, semua tahu apa yang sekalian peniaga lakukan. Naikkan harga. Selalunya apabila harga naik bekalan pun pulih. Apabila krisis sudah diatasi harga yang naik itu tidak akan turun lagi. Hinggalah bekalan itu tidak cukup lagi. Harga naik lagi. Begitulah lazimnya sejak zaman Tun Razak lagi.
     
Mungkin krisis bekalan gula, tepung, beras, susu dan lain-lain banyak bergantung pada bekalan dunia. Kita tidak jadi pengeluar secukupnya. Kita ada sawah tapi kita tidak berdikari. Kita pernah buka ladang tebu tapi tak tahu apa jadi kilang gulanya.
    
Kita adalah pengeluar kelapa sawit terbesar dunia. Kita melabur pula di negara jiran. Eksport kita tidak pernah tidak cukup. Acap harga sawit jatuh kerana kurang impot. Dan sekarang harga sawit jatuh tetapi pengeluarannya tidak berkurangan. Bekalan diteruskan sekalipun harganya murah.
    
Maka bekalan minyak masak dari kelapa sawit sepatutnya cukup dan berlebihan. Bahkan negara patutnya ada simpanan yang cukup bagi kegunaan domestik. Apabila ada tanda-tanda kurang bekalan dalam pasaran boleh cepat-cepatkan keluarkan simpanan.
    
Apabila kita kurang minyak masak, maka kita macam Arab Saudi tidak cukup petrol. Sebagai  pengeluar petrol terbesar dunia, tak mungkin Saudi putus bekalan runcit. Kalau Saudi tak mungkin putus bekalan petrol domistik, maka tak patut Malaysia tenggelam dengan minyak sawit putus bekalan.
    
Sudah nasib kita jadi itik kehausan di tengah banjir dan ayam kelaparan di negeri yang banyak sekam. Adakah sawit bukan lagi rezeki kita? – HARAKAHDAILY 31/10/2016

Share:

Definition List

get this widget here

Unordered List

Sembang