Sesungguhnya mati jasad kerana roh, mati roh kerana tiada ilmu. Mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada istiqomah. Menuntut ilmu adalah taqwa... menyampaikan ilmu adalah ibadah... mengulang ilmu adalah zikir... mencari ilmu adalah jihad... ........ ~al-qhazali~

Sunday, December 16, 2018

Perancang keluarga dlm islam

 

 

Home  Articles  Irsyad Fatwa  General  IRSYAD AL-FATWA KE-146 : HUKUM MERANCANG KELUARGA KERANA BERPENDAPATAN RENDAH

IRSYAD AL-FATWA KE-146 : HUKUM MERANCANG KELUARGA KERANA BERPENDAPATAN RENDAH

DetailsUploaded by Umar Mukhtar Mohd Noor Published: 18 November 2016Irsyad Fatwa 

General

SOALAN:

Salam. Boleh saya tanya? Seseorang suami yang berpendapatan rendah, adakah perlu merancang keluarga?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Para ulama berbeza pandangan tentang hukum tanzim al-usrah atau perancangan keluarga atas alasan kemiskinan.

Pendapat pertama:

Bagi mereka yang tidak membenarkannya, mereka berhujah:

Rezeki itu berada dalam ketentuan Allah, dan Allahlah yang menetapkan pembahagian rezeki bagi setiap anak. Allah berfirman dalam al-Quran:

وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.

Surah al-An’am, (6:151)

Penyerupaan amalan Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin, sekalipun kaedah ini hanyalah menghalang lahirnya anak-anak. Namun tujuannya adalah sama, yakni takut miskin, maka hukum tujuan ialah hukum wasilah (sarana).Rezeki itu adalah milik Allah, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan ialah suatu bentuk sangka buruk kepada Allah. Maka sepatutnya seseorang itu bertawakal kepada Allah kerana Allah akan memberikan rezeki kepada siapa yang Dia ingini tanpa hisab. Wajib baginya berbaik sangka kepada Allah kerana seseorang itu tidak mengetahui hakikat kebaikan dan keperluan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Allah. Firman Allah Taala:

وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ  

Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.

Surah al-Baqarah, (2:216)

 

Pendapat kedua

Bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga atau tanzim al-usrah kepada tanzim al-nasal(perancangan anak) dan tahdid al-nasal(membataskan anak).

Tanzim al-Nasal merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan denga syarat-syarat:

Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

Ini berdalilkan athar daripada Jabir RA:

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 5209) dalam al-Sahih

Ertinya, tiada larangan daripada al-Quran tentang perkara itu kerana jika ia dilarang nescaya al-Quran akan menyatakan larangan. Dalam riwayat Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang `azal, maka baginda menjawab:

مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.

Dalam riwayat Abu Said RA menyebut:

لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا

Maksudnya: Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 7409)

Ertinya, jika Allah mengkehendaki seorang anak itu dikandungkan dan dilahirkan juga, tiada siapa yang boleh menghalang. Maka, pasagan yang merancang itu hendaklah reda, beramanah dan berasa tanggungjawab.

Manakala Tahdid al-Nasal menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran. Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatahlagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin. Pengecualian ialah bagi kes yang melibatkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin. Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada hari terakhir haid.

 

Fatwa-fatwa ulama

Imam al-Ghazzali  berpendapat pengguguran kandungan ialah haram mutlak sekalipun pada peringkat awal seperti nutfah kerana ianya asas kehidupan manusia. Namun, beliau beliau berpendapat bahawa azal ialah harus dan menyatakan beberapa niat syarie untuk melakukan azal antaranya ialah faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri bagi tujuan kasih sayang berpanjangan antara pasangan bagi mengelakkan talaq. Beliau juga menyatakan faktor yang fasid (rosak) yang tidak boleh diterima dan berdosa seperti takut untuk mendapat anak perempuan.

Rujuk Ihya' Ulum al-Din (2/52)

Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jamadilakhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M telah memutuskan, antara lain:

Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki atau pun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syarie.Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh Syarak, berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudarat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada.

Rujuk Majallah al-Majma’ Siri 4 (1/73).

 

Syeikh Atiyyah pada Mei, 1997 melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah mengeluarkan fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga bahawa dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu. Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius.

Rujuk Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (47/10)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-28 yang bersidang pada 29 Februari 1991 telah membincangkan Sistem Susuk Norplant Dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan. Muzakarah telah memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini adalah harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:

Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.

Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa  Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam(ms. 138)

 

Kesimpulan

Berdasarkan soalan yang dikemukakan, dibolehkan bagi kedua pasangan untuk menggunakan kaedah tanzim al-nasal yang diharuskan oleh Syarak bagi tujuan merancang keluarga dengan cara menjarakkan anak, bagi tujuan pengurusan ekonomi kerana berpendapatan rendah. Ini perlu disertakan dengan niat bahawa jika Allah berkehendakkan pasangan itu anak, maka tiada siapa yang boleh menghalang dan hendaklah pasangan itu reda kepada taqdir Allah dan bersikap bertanggungjawab.

Wallahua'lam. 

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

21 November 2016 bersamaan 21 Safar 1440

Share:

Tuesday, August 14, 2018

Lgbt

MENJAWAB POLEMIK PENDEKATAN KE ATAS GOLONGAN LGBT

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/7765-menjawab-polemik-pendekatan-ke-atas-lgbt

1. Kepincangan isu yang membabitkan golongan LGBT [lesbian, gay, biseksual & transgender] semakin ketara dan dilihat sebagai satu ancaman yang merunsingkan. Tidak hanya tekanan yang dikenakan ke atas seorang doktor iaitu Nur Ilyani susulan surat terbuka beliau yang menyanggah Marina Mahathir kerana menuntut hak sama rata ke atas LGBT. Malah begitu juga dengan pendekatan Menteri Agama, Datuk Dr Mujahid yang mengadakan sidang media selepas pertemuan dengan aktivis LGBT iaitu Nisha Ayub baru-baru ini. Hal ini menjadi polemik apabila wujudnya suasana keraian ke atas golongan berkenaan.

2. Secara dasarnya, perlu difahami bahawa kelakuan golongan LGBT ini merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Ini kerana ia bercanggah dengan fitrah sehinggakan ada yang sanggup mengubah ciptaan Allah. Walhal dalam Islam, dengan hanya berkelakuan seperti jantina yang berlainan dari sudut gerak geri termasuk memakai pakaian yang berlawanan jantina pun akan dilaknat oleh Allah apatah lagi jika melakukan seks songsang serta mengubah kelamin dengan pembedahan. Ancaman ke atas perkara tersebut dapat difahami menerusi kemurkaan Rasulullah SAW menerusi hadis riwayat Ibnu Abbas R.A :

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ، وَقَالَ: «أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ»

Maksudnya :"Nabi SAW melaknat golongan pondan kalangan lelaki dan daripada golongan perempuan yang menyerupai lelaki. Baginda SAW bersabda: Usir mereka dari rumah-rumah kamu". (Riwayat al-Bukhari)

3. Kecelaruan kefahaman yang menyamakan antara khunsa dengan golongan transgender adalah satu kedangkalan. Ini kerana khunsa yang memiliki dua kelamin sejak lahir merupakan asal kejadian yang berlaku ke atas diri mereka. Ia berbeza dengan transgender yang mengubah fitrah asal sehingga ada yang sanggup melakukan pembedahan untuk mengubah kelamin. Malah dalam permasalahan khunsa, Islam meletakkan batasan agar mesti ditetapkan satu jantina sahaja sama ada menerusi kecenderungan fitrah perilaku atau juga berdasarkan fungsi daripada salah satu alat kelaminnya sebagaimana perbahasan oleh para ulama terdahulu.

Larangan mengubah ciptaan Allah ini ditegaskan melalui hadis riwayat Ibnu Mas'ud R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: "Allah melaknat pembuat tatu, orang yang meminta supaya dibuatkan tatu kepadanya, orang yang mencukur kening, orang yang menjarangkan gigi dengan tujuan untuk kecantikan dan golongan yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat al-Bukhari)

4. Oleh itu, pendekatan yang dilakukan mesti diperhalusi dengan baik agar tidak terlalu longgar sebagaimana tindakan kepimpinan kerajaan persekutuan yang dilihat memberikan keuntungan dan promosi serta pengiktirafan kepada pergerakan LGBT yang lebih selesa sekarang. Secara tidak langsung, ia telah membuka pintu fitnah dengan memberi ruang kepada mereka mendapat tempat seolah-olah tindakan mereka adalah benar. Inilah kerugian ummah apabila pemimpin umat Islam sendiri secara sedar telah membawa masuk virus jahiliah dalam kelompok Islam sendiri yang akhirnya merugikan Islam. Keadaan ini sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Sayyidina Umar al-Khattab R.A:

تنقض عرى الإسلام عروة عروة إذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية

Maksudnya : "Terungkai ikatan-ikatan Islam satu persatu apabila lahir dalam kelompok Islam mereka yang tidak mengenali jahiliah".

5. Jika diteliti kepada perundangan di Malaysia, kelakuan golongan LGBT ini merupakan satu kesalahan jenayah Syariah yang boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Syariah. Semua negeri di Malaysia mempunyai beberapa peruntukan khusus melibatkan transeksual. Contohnya Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah -Wilayah Persekutuan 1997 (AKJSWP 1997) yang memperuntukkan berkaitan dengan kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan (pondan) [Seksyen 28], liwat [Seksyen 25] dan musahaqah (persetubuhan antara perempuan dengan perempuan) [Seksyen 26]. Malah, umat Islam di setiap negeri terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan (sekiranya digazetkan di negeri). Dalam hal ini, pada tahun 1983 telah diputuskan bahawa pembedahan pertukaran jantina adalah haram pada pandangan syarak. Oleh yang demikian, maka dengan sendirinya jika seseorang itu cuba untuk melakukan pertukaran jantina, perbuatan tersebut adalah haram dan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar fatwa yang telah diwartakan. [Seksyen 12 AKJSWP 1997].

6. Dalam hal ini, golongan LGBT boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu aktivis dan ahli biasa. Aktivis ialah mereka yang bertindak secara terang-terangan dan mempromosikan kelakuan ini di samping memperjuangkan tuntutan LGBT yang mereka mahukan. Adapun ahli biasa adalah mereka yang berada dalam dunia mereka sahaja tanpa ekstrim mempromosi aktiviti songsang mereka. Pembahagian ini sebagaimana juga diambil dari perbahasan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya جريمة الردة وعقوبتها yang membahagikan golongan murtad kepada ردة مجردة (yang melibatkan dirinya sahaja) dan ردة مغلظة (yang menjadi aktivis dalam menyebarkan agenda riddah kepada masyarakat awam).

7. Dalam pembahagian tersebut menunjukkan perbezaan sikap pemimpin dan masyarakat dalam berhadapan dengan mereka, iaitu sekiranya :

i. Aktivis - hendaklah tegas dengan tindakan perundangan agar membendung tindakan mereka yang boleh merosakkan masyarakat awam.

ii. Non aktivis - berhemah dalam pendekatan bagi mengubati dan mendidik mereka kembali kepada fitrah asal.

8. Sehubungan itu, memberi ruang kepada aktivis LGBT adalah satu tindakan yang tidak tepat malah merugikan Islam. Sedangkan dalam hal ehwal agama Islam, apabila ada golongan yang mempermainkan serta memperlekehkan agama, umat Islam dilarang berada dengan kelompok mereka. Kelompok LGBT yang bergerak secara organisasi dan membuat promosi murahan di media sosial adalah bercanggah dengan Syariat Islam. Pemimpin dan umat Islam mesti bertegas dalam hal ini sebagaimana pendekatan yang diambil oleh Khalifah Umar Abdul Aziz ke atas seorang yang turut serta dalam majlis maksiat yang dihidangi arak tanpa dia melakukan apa-apa pencegahan kemungkaran, dengan mengenakan hukuman ke atasnya berhujahkan firman Allah SWT :

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Maksudnya : "Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Al-Quran, iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam." [Al-Nisa':140]

9. Berdasarkan kepada penghujahan di atas, Dewan Ulama PAS Pusat berpandangan dalam polemik pendekatan ke atas golongan LGBT ialah melalui penyelesaian berikut :

i. LGBT dilihat sebagai pergerakan yang tersusun dan ianya merupakan satu ancaman ke atas masyarakat dan sosial yang mesti dicegah dan dihentikan. Semua pihak mesti bertegas dalam kesepakatan ini bahawa perbuatan mereka adalah dilarang oleh agama.

ii. Dengan perundangan yang sedia ada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, tindakan tegas wajib diambil ke atas aktivis LGBT yang terang-terangan mempromosi kelakuan songsang mereka bagi mengelakkan ianya mempengaruhi masyarakat umum.

iii. Bagi mereka yang terjebak dengan LGBT tanpa menjadi aktivis dinasihatkan untuk tampil mendapatkan khidmat kaunseling dan nasihat agama dalam menyelesaikan kekeliruan yang menyebabkan mereka mengalami masalah kecelaruan identiti. Pihak yang berwajib dan para pendakwah juga hendaklah meneruskan kerja-kerja dakwah menyeru golongan ini agar kembali kepada fitrah asal.

iv. Tidak wajar sebarang ruang diberikan kepada aktivis LGBT ini dalam semua perkara yang diperjuangkan oleh mereka. Pihak kerajaan mesti menutup ruang perjuangan mereka dan mengambil tidakan yang tegas bagi mempastikan agenda jahiliah ini tidak menular dan mendapat sambutan pihak yang berkepentingan.

MOHD ASRI BIN MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Share:

Friday, January 12, 2018

Ajaib alquran

utk renungan bersama fakta-fakta tentang dalam kitab suci ini :-

Al-Quran diturunkan daripada Baitul Izzah kepada Rasulullah secara beransur-ansur selama 23 tahun melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Al-Quran diturunkan daripada Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia pada malam Qadar (Lailatul Qadar) di bulan Ramadhan.

Al-Quran pertama-kali diturunkan pada tanggal 17 Ramadhan kepada Rasulullah SAW ketika beliau berusia 40 tahun.

Di dalam al-Quran, perkataan iblis disebut sebanyak 11x sama dengan jumlah perkataan al-istiadzah (mohon perlindungan Allah) juga 11x.

Di dalam Al-Quran tersebut perkataan 'hayat' dan 'maut' masing2 sebanyak 145 kali.

Di dalam Al-Quran disebut perkataan 'dunia' dan 'akhirat' masing2 sebanyak 115 kali.

Di dlm Al-Quran disebut perkataan 'iman' sebanyak 811 kali dan perkataan 'kufur' sebanyak 697 kali. Perbezaan 114 selaras dgn jumlah surah.

Di dalam al-Quran, solat disebut 68x, zakat 32x, dan puasa 14x. Jumlah ketiga2 ini ialah 114x, selaras dgn jumlah surah di dalam al-Quran.

Perkataan 'al-kafirun' (orang2 kafir) dan perkataan 'an-nar' (neraka) masing2 disebut di dalam al-Quran sebanyak 154x.

Ada 2 angka yg memiliki nilai istimewa di dalam al-Quran, iaitu angka 7 and 19.

Perkataan syaitan dan malaikat itu diulang masing2 88x di dalam al-Quran.

Perkataan 'al-yusr' (kemudahan) disebut 36x dan 'al-usr' (kesulitan) disebut 12x. Kemudahan adalah 3x ganda lebih banyak dari kesulitan.

Di dalam al-Quran, perkataan 'ampunan' disebut sebanyak 234x manakala perkataan 'balasan' disebut sebanyak 117x, iaitu sebanyak 2x ganda.

Di dalam al-Quran, jumlah surah = 114, juz = 30, ayat = 6236, kalimat = 97439, lafaz = 51924, titik = 150681, huruf = 323671.

Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat kelak sebagai pemberi syafaat kpd setiap pembacanya - HR Abu Umamah.

Barangsiapa yg membaca surah al-Baqarah, ia akan diberi mahkota kebesaran pada hari kiamat kelak. (HR al-Baihaqi).

Sesiapa yg baca ayat Kursi & surah al-Ikhlas setiap kali selepas solat fardhu, tiada yg menghalangnya masuk syurga kecuali mati. HR Nasa'i.

Surah pertama yg diturunkan secara lengkap ialah surah al-Muddatstsir.

Ayat yg paling terakhir diturunkan menurut pendapat yg paling sahih ialah ayat 281 surah alBaqarah. Pendapat lain ialah alMaidah ayat 3.

Nama-nama lain bagi al-Quran ialah al-Kitab (al-Baqarah:2), adz-Zikir (al-Hijr:9), dan al-Furqan (al-Furqan:1).

7 loghat al-Quran mengikut pendapat yg paling masyhur: Quraisy, Hudzail, Tsaqif, Hawazan, Kinanah, Tamim, dan Yaman.


p/s : Al-Quran itu adalah petunjuk, penawar penyakit, petua, dan rahmat yang diturunkan oleh Allah SWT.

its okay yanaa. Doa saja semoga dpt memilikinya sebagai hantaran nanti. Huahua. Doakan

Share:

Buah apa ini?

Share:

Sunday, April 2, 2017

PERKIRAN KELUASA TANAH

UNIT UKURAN JARAK DAN LUAS UNTUK TANAH


Oleh kerana banyak sangat pertanyaan yang aku terima mengenai unit-unit ukuran yang selalu digunakan bagi ukuran jarak dan juga unit-unit ukuran keluasan tanah, disini aku telah sediakan satu senarai panjang “unit-unit pertukaran” atau “conversion” bagi memudahkan para pembaca mengira sendiri nilai sebenar jarak dan luas yang perlu ditukar dari satu unit asal ke unit yang lain.
Sebenarnya terdapat banyak unit ukuran yang telah digunapakai di dalam pelan tanah dan juga geran tanah sejak dulu sampailah sekarang. Jadi jadual pertukaran unit ukuran bagi jarak dan luas tanah yang aku sediakan ini adalah bagi memudahkan pengiraan pertukaran jika perlu untuk membuat sesuatu kerja yang bersangkutan dengan tanah.
UNIT-UNIT UNTUK JARAK TANAH
1 kaki = 12 inci
1 kaki = 0.3048 meter
1 meter = 3.28084 kaki
1 meter = 1.094 ela = 3 kaki 3 inci
1 ela = 0.9144 meter
1 ela = 3 kaki
1 ling = 0.201168 meter
1 rantai = 100 ling
1 rantai = 66 kaki = 20.1168 meter
1 kilometer = 3281 kaki = 1000 meter
1 kilometer = 0.6214 batu
1 batu = 1.609 kilometer
1 batu nautika = 1.1508 batu = 1.852 kilometer
1 relung = 176 kaki = 53.645 meter
1 pole = 5.0292 meter
1 rantai = 4 pole
1 rantai = 22 ela
1 furlong = 10 rantai
1 jengkal = 0.5 hasta
1 hasta = 0.5 ela
1 depa = 4 hasta = 2 ela = 1.8288 meter
1 jempa = 8 kaki
1 jumba = 12 kaki
1 jemba = 24 kaki
1 orlong = 20 jumba
UNIT-UNIT UNTUK KELUASAN TANAH
1 kaki persegi = 0.093 meter persegi
1 ela persegi = 0.836 meter persegi
1 meter persegi = 10.764 kaki persegi
1 relung persegi = 2877.8 meter persegi
1 relung persegi = 30976 kaki persegi
1 relung persegi = 0.288 hektar = 0.7111 ekar
1 relung persegi = 484 jempa persegi
1 jempa persegi = 64 kaki persegi
1 ekar = 1.406 relung
1 ekar = 4,046.86 meter persegi
1 ekar = 0.4047 hektar
1 ekar = 43560 kaki persegi
1 hektar = 10000 meter persegi = 3.475 relung
1 hektar = 2.471 ekar = 107,639 kaki persegi
1 ekar = 4 Rood = 160 pole
1 Rood = 40 pole = 0.25 ekar
1 Rood = 1,011.7 meter persegi = 10890.6 kaki persegi
1 pole = 0.025 Rood = 0.00625 ekar
1 pole = 25.293 meter persegi = 272.22 kaki persegi
1 depa persegi = 4 ela persegi = 36 kaki persegi
1 depa persegi = 3.3445 meter persegi
SIMBOL UNIT-UNIT UKURAN DALAM PELAN
in = inci
ka / ft = kaki
ch = rantai
m = meter
km = kilometer
m2 / mps / sq. m = meter persegi
k2 / ka2 / kp / kps / ft2 / sq. ft = kaki persegi
H / hek / ha = hektar
A / ac / ek = ekar
R / r = rood
p = pole
cal = calculation
comp = computation
ki = kiraan
dpi = dari perkiraan
sc = scale
sa = seperti asal
j = jumpa
CONTOH JADUAL PERTUKARAN UNIT
1 rantai = 100 ling = 20.1168 meter = 66 kaki
Maksudnya :
1 rantai = 100 ling
1 rantai = 20.1168 meter
1 rantai = 66 kaki
UNIT LAMA DALAM GERAN TANAH DAN CP
Dalam kebanyakan pelan Geran Tanah keluaran Pejabat Tanah dan Certified Plan ( CP ) yang sekarang disebut sebagai PA iaitu Pelan Akui keluaran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) yang lama, unit ukuran yang sering digunapakai adalah samada dalam unit ‘ling’, ‘rantai’ atau ‘kaki’ untuk jarak dan untuk keluasan pula ‘relung’ dan ‘jempa’ akan digunakan jika lot tanah tersebut terletak dalam kawasan penanaman padi, kelapa dan getah. ‘Hektar’, ‘ekar’, ‘Rood’ dan juga ‘pole’ adalah yang biasa digunakan dan ada yang kekal ditulis dalam unit tersebut sampailah sekarang. Bagi pelan jurutera rekabentuk dan pelan arkitek yang lama pula mereka lebih suka gunakan unit ‘kaki dan inci’.
Tetapi setelah negara Malaysia secara rasminya mengamalkan sistem metrik maka sekarang ini secara standardnya setiap pelan samada yang dihasilkan oleh Pejabat Tanah, JUPEM, Jurukur Tanah, Jurutera & Arkitek, kesemuanya adalah menggunakan samada unit ‘meter’ ( m ) atau ‘milimeter’ ( mm).
CARA MENGETAHUI UNIT SEBENAR YANG DIGUNAKAN
Tips untuk mengetahui unit ukuran sebenar yang digunapakai dalam pelan-pelan geran tanah dan pelan akui yang lama. Lakukanlah sedikit perkiraan mudah iaitu dengan melihat pada keluasan tanah yang tertulis di bawah nombor lot yang terdapat dalam pelan itu. Buatlah pengiraan kasar dengan mengambil jarak lebar dan jarak panjang lot tanah seperti yang tertulis secara asal bagi lot yang dalam bentuk segiempat dan cuba kira luasnya ( lebar X panjang = luas ). Lihat hasil kiraan kasar itu dan bandingkan dengan jumlah luas yang tertulis di dalam geran tanah tersebut. Jika jawapannya adalah samada tidak hampir tepat atau sangat jauh meleset maka ulang pengiraan dengan menggunakan unit yang lain pula.
Maksudnya, untuk mengetahui unit yang sebenar kita perlulah menukar unit luas lot tanah tersebut dan tukarkan juga unit lebar dan panjang lot tanah itu kepada satu unit ‘ANGGAPAN’ terlebih dahulu sebelum mengiranya.
Percayalah, setelah kita menukar unit anggapan sebanyak beberapa kali barulah kita akan mengetahui apakah unit sebenar yang telah digunakan bagi setiap jarak yang tertulis di dalam pelan itu. Kuncinya adalah keluasan lot tanah yang ditulis di dalam geran tersebut. Jika luas lot itu tertulis dalam bentuk ‘hektar’, ‘ekar’, ‘Rood’ dan ‘pole’ tukarlah kepada unit ‘meter persegi’ dahulu. Buatlah anggapan bahawa jarak-jarak asal sempadan tanah itu adalah ditulis dalam unit ‘ling’, ‘rantai atau ‘kaki’ dan tukarkannya kepada ‘meter’ dahulu. Mula-mula gunakan unit ‘ling’ tukarkan kepada meter dan kira luas lot tanah itu. Jika salah ulang lagi dengan membuat anggapan jarak itu ditulis dalam unit ‘rantai’ pulak. Begitulah seterusnya sampailah kita mendapat jawapan yang paling hampir tepat keluasan lot tanah itu di dalam unit ‘meter persegi’ seperti yang tertulis di dalam geran tanah itu.
CARA MENGIRA KELUASAN LOT TANAH
Di dalam geran tanah yang lama, keluasan lot tanah akan ditulis dalam unit Ekar, Rood dan Pole. Unit Ekar akan ditulis sebagai ‘a’, unit Rood akan ditulis sebagai ‘r’ manakala unit Pole, Perch atau Rod yang sama nilainya pula akan ditulis sebagai ‘p’ sahaja.
Tetapi terdapat juga geran tanah yang dulunya terletak di dalam kawasan pertanian yang ditulis dengan menggunakan unit Relung dan Jempa bagi keluasan lot tanah tersebut. Unit Relung akan ditulis sebagai ‘r’ manakala unit Jempa pula akan ditulis sebagai ‘j’.
CONTOH MENGIRA LUAS TANAH DALAM UNIT EKAR
Jika keluasan tanah dalam geran ditulis sebagai :
2a. 1r. 0007p.
Ini bermakna luas tanah tersebut adalah :
2 ekar + 1 Rood + 7 pole
Formula asasnya adalah :
1 ekar = 4046.86 m2
1 Rood = 1011.7 m2
1 pole = 25.293 m2
Di dalam unit meter keluasannya adalah :
= ( 4046.86 x 2 ) + ( 1011.7 ) + ( 25.293 x 7 )
= 8093.72 + 1011.70 + 177.05
= 9282.47 meter persegi
Di dalam unit kaki pula keluasannya adalah :
= ( 9282.47 m2 x 10.764 )
= 99,916.5 kaki persegi
CONTOH MENGIRA LUAS TANAH DALAM UNIT RELUNG
Jika keluasan tanah dalam geran ditulis sebagai :
2r. 383j.
Ini bermakna luas tanah tersebut adalah :
2 relung + 383 jempa
Formula asasnya adalah :
1 Relung = 30,976 kp
1 Jempa = 64 kp
Di dalam unit kaki keluasannya adalah :
= ( 30,976 x 2 ) + ( 64 x 383 )
= 61,952 + 24,512
= 86,464 kaki persegi
Di dalam unit meter pula keluasannya adalah :
= ( 86,464 kp / 10.764 )
= 8032.70 meter persegi
WEBSITE BAGI MENUKAR JARAK DAN LUAS
Terdapat satu laman web di internet yang boleh dirujuk jika anda mahu menukar jarak dan luas lot tanah dari semua jenis unit imperial yang lama kepada semua jenis unit metrik yang digunapakai ketika ini.
Unit-unit lama itu termasuklah unit Rood, rod/perch/pole, rantai, kaki, furlong, ling, ela dan juga bagi unit ukuran yang digunapakai di Amerika Syarikat yang sedikit berbeza dengan unit British. Sila klik link dibawah untuk pergi ke lawan web tersebut :-
1.) Website Untuk Menukar JARAK
2.) Website Untuk Menukar LUAS
Dari masa ke semasa aku akan menambah info mengenai unit-unit lama yang pernah digunakan di Malaysia pada waktu dahulu kala. Ini termasuklah unit-unit yang telah tidak pernah kedengaran lagi dan hanya terdapat dalam buku-buku sejarah Tanah Melayu yang telah diterjemahkan oleh pihak British dan juga Belanda. Unit-unit itu adalah seperti unit jengkal, hasta, depa, jumba, jemba, jempa dan orlong.
Sekian dahulu untuk kali ini terima kasih kerana sudi membaca blog aku ini…
SHARING IS CARING
NOTA KAKI
1.) SEBARANG SOALAN YANG BERTANYAKAN TENTANG JAWAPAN NILAI TUKARAN DARI SATU UNIT KE UNIT YANG LAIN ADALAH TIDAK AKAN DI LAYAN DAN AKAN DIPADAM.
2.) HAMPIR KESEMUA FORMULA TUKARAN NILAI ASAS YANG BIASA DIGUNAKAN TELAH PUN DISEDIAKAN. APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN ADALAH MENGIRA SENDIRI TUKARAN NILAINYA.
3.) BERUSAHALAH SEDIKIT JANGAN KESEMUANYA NAK DITANYAKAN DAN DISEDIAKAN JAWAPANNYA OLEH PENULIS.
4.) TUJUAN ARTIKEL INI ADALAH UNTUK MEMBANTU ANDA TETAPI PENULIS BUKANLAH ‘KALKULATOR HIDUP’ UNTUK MEMBUAT KESEMUA PENGIRAAN BAGI MENYEDIAKAN JAWAPAN KEPADA SOALAN ANDA.
5.) AKHIR SEKALI HARAP MAAF JIKA ADA YANG BERASA TERSINGGUNG DENGAN NOTA ‘PEDAS’ INI.
TERIMA KASIH KERANA MENJENGAH KE SINI
Share:

Definition List

get this widget here

Unordered List

Sembang