Sesungguhnya mati jasad kerana roh, mati roh kerana tiada ilmu. Mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada istiqomah. Menuntut ilmu adalah taqwa... menyampaikan ilmu adalah ibadah... mengulang ilmu adalah zikir... mencari ilmu adalah jihad... ........ ~al-qhazali~

Friday, July 22, 2016

TURKI

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠ البقرة)

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah: ayat 120)

Sebaik sahaja gagalnya rampasan kuasa di Turki oleh segelintir tentera yang mengaturnya, keseluruhan negara barat, termasuk negara Islam yang berada di bawah ketiaknya yang busuk itu membuat kenyataan menyokong kerajaan Turki yang dipilih secara demokrasi, dengan peringatan supaya menghormati undang-undang dan hak asasi manusia, termasuk tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap mereka yang nyata terlibat dengan rampasan kuasa yang telah terkorban dibunuh dan cedera ditembak. 

Beberapa minggu dan bulan sebelum rampasan kuasa, beberapa media barat menyiarkan penulisan yang menyatakan kebimbangan dan keraguan terhadap Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dianggap melakukan perubahan yang dikira ancaman dan bahaya oleh mereka khususnya kembali kepada Islam dan mengubah kiblat politiknya dalam hubungan antarabangsa.

(merujuk kepada Foreign Afairs 30 Mei, Foreign Policy 15 Jun, New Yorks Times 5 Julai)

Perlu diketahui senario dahulu yang diulang lakonannya, betapa kuasa besar barat yang berjaya menumbangkan kerajaan Uthmaniyyah di awal abad yang lalu, setelah berjaya mengkhadamkan pemerintah umat Islam yang berpeluang mendapat kerusi berkuasa memerintah negara tanpa hala tuju Islamnya, di samping Kerajaan Uthmaniyyah yang sangat uzur itu berjaya ditumbangkan, sehingga tanah air umat Islam dijajah, dipecah dan diperintah, rakyatnya diabdikan, hartanya rompak.

Setelah berjaya meletakkan Kamal Atartuk yang ditabalkan sebagai "Bapa Turki" moden dengan menyingkirkan Islam dan melanyaknya habis-habisan, sehingga dimasukkan ke dalam buku teks di seluruh negara jajahan termasuk negara kita supaya mengagungkan Kamal Atarturk. 

Kamal Atartuk seorang ketua tentera diktator disanjung oleh barat sebagai seorang yang paling demokrasi dengan perlindungan istimewa melalui perlembagaan Turki yang dipilih anggotanya secara pilihan raya bebas dan demokratik, telah meletakkan di dalam perlembagaan Turki, prinsip dan konsep sekularisme yang mengharamkan politik Islam dengan apa cara sekalipun.

Sesiapa sahaja pemimpin yang hanya mencuba untuk memasukkan agenda Islam dalam kerajaannya mewajibkan tentera mengambil alih kuasa dengan perlindungan perlembagaan, inilah demokrasi ala Turki. Maka, sesiapa yang mahu memakai jenama Erdogan di Malaysia mesti membaca dan memahaminya. 

Di  awal tahun 50-an, Ali Adnan Menderes, seorang tokoh ilmuan Turki (peguam) keluar daripada Parti Kamal Atarturk (Parti Republik Rakyat) dan menubuhkan Parti Demokrat berdasarkan sekularisme mengikut undang-undang Turki.

Parti ini mencapai majoriti besar dalam Pilihanraya Umum 1954 dan Adnan dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya meningkatkan ekonomi Turki dalam aspek pertanian sehingga menjadi negara pengeksport pertanian besar ke pasaran Eropah, dengan mendapat sokongan besar daripada rakyat.

Tiba-tiba tentera dipimpin oleh General Jamal Jorsel merampas kuasa Adnan bersama Menteri Luar Potin Rusydi Zoghlo dan Menteri Kewangan Hasan Pulatkan dijatuhkan hukuman bunuh, kerana dituduh mengheret Turki kepada Islam. Semua negara barat berdiam diri apabila Islam menjadi mangsanya. 

Selepasnya, muncul pula  Profesor Najmuddin Erbakan tokoh jurutera, pencipta jentera berat di Jerman, khususnya menggunakan diesel. Beliau pulang ke Turki pada tahun 1960, sehingga berjaya melahirkan 300 orang pakar jentera dan Turki dapat mengeluarkan 30,000 buah jentera diesel setahun, menjadikannya tokoh yang sangat dihormati di Turki.

Seterusnya, beliau masuk ke alam politik menubuhkan Parti Kebangsaan Turki. Selepas sembilan bulan parti ini diharamkan kerana amaran panglima tentera General Muhsin Batur disebabkan lantangnya bersuara Islam.

Tahun 1972, Profesor Erbakan menubuhkan Parti Selamat Negara dan berkerjasama dengan Parti Artaturk, sehingga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, sehingga juga berjaya mengheret Turki menyerang Cyprus bagi menyelamatkan umat Islam yang dibunuh oleh Kristian Ortodok Greece dan memulihkan hubungan Turki dengan negara Islam, serta berjaya mengharamkan Pertubuhan Fremasson yang mendukung perjuangan yahudi, seterusnya menyokong perjuangan Rakyat Palestin. Akhirnya, Jeneral Kanan Ivreen merampas kuasa kerana menyelamatkan sekularisme Turki. Profesor Erbakan ditahan dan diharamkan berpolitik. 

Ketika beliau masih dikenakan tahanan rumah pada tahun 1983, saya berkesempatan berkunjung ke rumahnya dan mengenali Profesor Erbakan, selepasnya terjalin hubungan yang sangat akrab dan sering kali mengajak saya mengiringinya dalam lawatan antarabangsa. 

Pada tahun 1992, Profesor Erbakan yang masih diharamkan berpolitik menubuhkan Parti Refah (kemakmuran) dengan dipimpin oleh Profesor Ahmad Tekdal.

Pada tahun 1996, Parti Refah mencapai kemenangan bersama Parti Toreliq Qawim (Jalan Betul). Kerjasama yang mencapai kemenangan menubuhkan Kerajaan Campuran, akhirnya Profesor Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri.

Beliau mengambil langkah menubuhkan D-8, iaitu gabungan lapan buah negara umat Islam bersama Iran, Mesir, Pakistan, Nigeria, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh. Mewujudkan kerjasama ekonomi dan lain-lain.

Adapun Recep Tayyip Erdogan berjaya menang sebagai Datuk Bandar Istanbul, dan akhirnya tentera memaksa Profesor Erbakan meletakkan jawatan dan Parti Refah diharamkan juga, akibatnya juga Profesor Erbakan dan beberapa pemimpin termasuk Erdogan dipenjarakan. Setelah dibebaskan, Profesor Arbakan tidak dibenarkan berpolitik sehingga meninggal dunia pada 27 Februari 2011.

Pengikut tegar Profesor Erbakan menubuhkan Parti Saadat dengan meneruskan pendekatannya. Adapun Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gol menubuhkan Parti Adalat dengan dasar yang lebih ekstrem berterus-terang sekularnya sehingga mengadakan perjanjian tidak melaksanakan Islam di hadapan para jeneral tentera, meneruskan hubungan dengan Israel dan barat, sehingga memenuhi segala syarat untuk menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) namun tidak diluluskan juga.

Langkah yang dimarahi oleh gurunya Profesor Erbakan, namun Erdogan memekakkan telinga terhadap gurunya tanpa menjawab. Langkah Erdogan membebaskan dakwah dan kegiatan masjid, serta berterus-terang menyokong Palestin, dalam masa yang sama mencipta keadaan memulihkan hubungan dengan Israel, sehingga mendedahkan diri kepada kritikan yang keras daripada dalam dan luar, tetapi tidak mendapat kepercayaan barat dan sekutu-sekutunya.

Bahkan, polisi barat mengepung Turki terlibat dengan krisis negara jirannya, dan sekutu barat menguatkan ancaman pemberontak komunis Kurdis, dan mencipta tembakan Turki ke arah pesawat Rusia dan lain-lain.

Barang kali kerana Erdogan dan rakan-rakan yang akrab dengannya tetap bersolat dan beramal dengan cara hidup seorang Islam, isteri-isteri mereka berjilbab dalam majlis rasmi pun tetap menjadi teguran yang keras daripada golongan sekular, walaupun di atas konsep demokrasi dan hak-hak asasi manusia terhadap masing-masing. 

Akhirnya merobekkan topeng barat yang menipu dan berpura-pura terhadap umat Islam di sepanjang masa, menunjukkan  prejudis, oportunis, "double-standard", hasad dan lain-lain sifat lagi yang sangat negatif terhadap Islam, walaupun Islam dan penganutnya sangat berbudi dan berbahasa terhadap mereka, sejak zaman keemasan tamadun Islam sehinggalah zaman menjadi sasaran kezaliman mereka, dengan penjajahan, perhambaan, sehinggalah dijadikan mangsa pembunuhan perebutan kuasa dan ujian senjata.

Umat Islam terus menjadi sasaran fitnah kerana agamanya. Demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan yang sebenar, keadilan yang saksama hanya ungkapan manis yang tidak dirasa kalau berbau Islam sahaja. Semua kemenangan parti yang berteraskan Islam atau ada tanda-tanda menuju ke arah Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab tetap dinafikan.

Sejarah kemenangan Masyumi di Indonesia di tahun 50-an diguling dan diharamkan, kemenangan Mujahidin Afghanistan menghalau Soviet dikacaubilaukan sehingga mencetuskan huru-hara yang tidak padam sehingga kini, begitu juga kemenangan Parti Islam FIS di Algeria hanya dalam pilihan raya Majlis Perbandaran dirampas kuasa dan diharamkan secara terbuka, menjatuhkan Presiden Mursi di Mesir dengan dramanya yang tersendiri, sikap barat terhadap Revolusi Islam bermazhab Syiah di Iran juga dipulau dengan fatwa negara barat sehingga menyekat segala usahanya menyatukan umat menentang Israel dan lain-lain.

Kini giliran Turki dengan pendekatan Erdogan yang dinafikan Islamnya secara undang-undang yang merumitkan, dilakukan rampasan kuasa tentera yang diulang senarionya tiba-tiba menemui kagagalan. Sebaik sahaja beritanya tersebar, dapat disaksikan betapa negara penjajah dan sekutunya menunggu dan lihat siapa yang menang.

Kecuali Mesir yang menyokong rampasan kuasa gagal itu secara berani kerana mengikut sunnahnya, sehingga lebih ke hadapan daripada Israel yang membisu.

Semua negara barat terkini mendesak supaya Turki menghormati undang-undang tidak menjatuhkan hukuman mati oleh mahkamahnya nanti ke atas mereka yang nyata terlibat dalam rampasan kuasa yang gagal itu, sedangkan mereka boleh melakukan pembunuhan kerana perbezaan warna kulit membunuh beramai-ramai menyerang Afghanistan dan Iraq kerana khabar angin adanya senjata merbahaya atau adanya seorang sahaja yang diburu seperti Osama bin Laden, Saddam Hussin, Muammar Ghadafi atau Ayatullah Khomeini dan sebagainya, sebaliknya melindungi Salman Rusydi dan rakan-rakannya tanpa mahkamah dan bukti yang kukuh. 

Mereka juga memejam mata terhadap pembunuhan rakyat Palestin, Rohingya dan terakhirnya hukuman mati ke atas para pemimpin Jamaat Islami di Bangladesh kerana kesalahan tidak menyokong perpecahannya daripada Pakistan setelah berlalunya masa lebih empat puluh tahun.

Perlu diperkenalkan tiga tokoh yang menggagalkan rampasan kuasa Turki, mereka bersama Erdogan, mereka ialah, Perdana Menterinya Binali Yildirim, Pemangku Penglima tentera yang memimpin operasi menentang pemberontakan, Jeneral Omet Dawardar dan Ketua Perisikan, Jeneral Dr Hakan Fidan.

Kali ini diharapkan jeratnya tidak mengena, laksana ayamnya terlepas, tangan berbau najis.

Benarlah firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 109:

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ  (١٠٩البقرة.)

"Banyak di antara ahli kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelas bagi mereka. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Share:

Wednesday, June 29, 2016

WANITA YANG UZUR BOLEH MAKAN SECARA TERBUKA?

Mukadimah

Di antara isu yang menjadi perbualan hangat di laman sosial ketika ini adalah berkenaan boleh ataupun tidak seseorang yang tidak boleh berpuasa disebabkan keuzuran makan secara terbuka di siang hari bulan Ramadhan ? Mereka itu termasuklah wanita yang berada dalam keadaan haid, seseorang yang bermusafir, golongan tua yang tidak mampu berpuasa, dan juga orang yang sakit. Justeru, Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadhan kali ini akan membahaskan isu ini secara terperinci. 

Siapakah Golongan Yang Diberi Keuzuran Untuk Tidak Berpuasa?

Berikut kami kongsikan beberapa golongan yang diberikan keizinan oleh syarak untuk tidak berpuasa disebabkan keuzuran. Antaranya:

Pertama: Wanita Yang Dalam Keadaan Haid & Nifas

Para ulama telah bersepakat bahawa wanita yang dalam keadaan haid diharamkan baginya untuk berpuasa. Sekiranya dia tetap berpuasa maka puasanya adalah tidak sah. Sama ada puasa tersebut merupakan puasa wajib, sunat, kaffarah, ataupun nazar. Wajib ke atas mereka untuk menggantikan puasa ini apabila mereka suci dari haid. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Maksudnya: Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa ?
Riwayat al-Bukhari (1951) 

Kedua: Orang Yang Dalam Keadaan Sakit

Orang yang sakit diberikan keringanan untuk berbuka puasa (tidak berpuasa). Apabila dia sihat semula maka wajib ke atasnya untuk menggantikan puasanya yang ditinggalkan tersebut. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.
Surah al-Baqarah (184)

Walaupun begitu, ada dhabit (piawaian) bagi kategori sakit yang dibenarkan berbuka dari ayat ini. Antaranya ialah:

Sakit tersebut adalah sakit yang teruk (berat) yang mana apabila orang tersebut berpuasa ia akan menambahkan lagi kesakitan ataupun melewatkan kesembuhan yang terdapat pada dirinya.

Apabila seseorang yang sakit itu berpuasa ia datang bersamanya masyaqqah (kepayahan) ke atas dirinya. 

Ketiga: Orang Yang Sedang Bermusafir

Orang yang sedang dalam permusafiran diberikan rukhsah (keringanan) untuk berbuka (tidak berpuasa). Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.
Surah al-Baqarah (184)

Berdasarkan ayat ini, orang yang sedang bermusafir juga diberikan keringanan untuk tidak berpuasa. Apabila dia berbuka, menjadi suatu kewajipan ke atas dirinya untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang lain. Akan tetapi permusafiran ini juga mempunyai beberapa kriteria untuk menjadikan ia suatu yang mengharuskan berbuka puasa. Antaranya adalah seperti berikut:

Permusafiran tersebut merupakan perjalanan panjang yang terdapat masyaqqah (kepayahan) kepada musafir yang berpuasa untuk meneruskan puasanya.

Jika orang yang bermusafir itu meneruskan puasa semasa bermusafir, akan tetapi puasanya tidak memberi kemudharatan atau kepayahan kepada dirinya, maka adalah lebih afdhal untuk dia teruskan puasa. 

Bolehkah Golongan Yang Disebutkan Di Atas Untuk Makan & Minum Secara Terbuka Di Siang Hari Ramadhan?

Inilah isu utama yang menjadi tumpuan kami untuk diulas. Kerana ia menjadi isu yang agak hangat dibincangkan. Sebelum kami mengulas lebih lanjut, suka untuk dikongsikan bersama beberapa kisah yang boleh dijadikan pengajaran.

Pertama: Rasulullah S.A.W bersabda:

 أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ وَلاَ فَخْر

Maksudnya: Aku adalah ketua (penghulu) bagi seluruh anak Adam dan itu bukan satu kebanggaan.
Riwayat Abu Daud (4308) 

Ketika mengulas hadis ini, Sulthan al-Ulama al-Izz Ibn Abd al-Salam (w. 660 h.) berkata: Nabi S.A.W menyebut bahawa hal tersebut bukanlah suatu kebanggaan adalah untuk mencantas sangkaan golongan yang bersangka buruk terutamanya apabila baginda menceritakan berkenaan dirinya.

Sekalipun perbuatan menceritakan kelebihan yang ada pada diri sendiri itu bukanlah satu kesalahan, akan tetapi baginda tetap menyebutkan bahawa itu bukanlah suatu kebanggaan bagi mengelakkan fitnah berlaku ke atas diri baginda S.A.W. 

Kedua: Di dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah S.A.W dilihat sedang berdua-duan dengan seorang perempuan. Lalu dua orang lelaki dari kalangan Ansar melalui kawasan tersebut. Sebaik sahaja mereka melihat Nabi, keduanya terus berjalan secara laju. Maka sabda Nabi S.A.W: 

عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا صَفِيَّة بِنْت حُيَي فَقَالَا‏:‏ سُبْحَانَ اللَّه يَا رَسُولَ اللَّهِ‏!‏ ‏:‏‏"‏إِنّ الشَّيطَانَ يجَرِي مِن ابنِ آَدَمَ مَجْرَى الدَّم وَإِنِّي خَشِيْت أن يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرَّا

 Maksudnya: Nanti dahulu wahai kamu berdua, sesungguhnya wanita ini adalah isteri aku Safiyyah binti Huyaiy. Lalu keduanya berkata: Maha Suci Allah wahai Rasulullah. Maka sabda Nabi S.A.W: Sesungguhnya Syaitan itu mengalir dalam tubuh badan manusia mengikut saluran darah dan aku takut dia mencampakkan keburukan dalam hati kamu berdua.
Riwayat Muslim (2175) 

Hadis ini juga turut menunjukkan bahawa baginda S.A.W berusaha untuk mengelakkan fitnah ke atas diri baginda serta sangkaan buruk yang mungkin boleh terhasil ke atas orang lain melalui perbuatan baginda. Sekalipun berdua-duaan dengan isteri itu merupakan suatu yang dibolehkan, akan tetapi sekiranya ia boleh mendatangkan fitnah maka perlu diberikan penjelasan keadaan yang sebenar. 

Ketiga: Kisah Ibrahim Nakhaie Dengan Anak Muridnya Sulaiman al-A’masy

Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu mereka berkata:  Si buta dipimpin si rabun.  lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”.

Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”. [Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jauzi, 7/22] 

Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik. 

Keempat: Bolehkah Seseorang Yang Melihat Anak Bulan Syawal Untuk Tidak Berpuasa ?

Diriwayatkan dari Ibn Umar R.anhuma beliau berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

Maksudnya: Apabila kalian melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah dan apabila kalian melihatnya (anak bulan syawal) maka berbukalah (raya sudah tiba).
Riwayat Muslim (1080) 

Ketika mengulas hadis ini, kata Imam al-Son’aani Rahimahullah: Jika seseorang yakin dia telah melihat anak bulan Syawal, maka dia boleh untuk berbuka (tidak berpuasa), dan sebaiknya dia sembunyikan hal itu, bertujuan untuk memelihara hamba (orang ramai) dari mereka berburuk sangka dengannya lalu mendapat dosa. Rujuk Subul as Salam, al-Son’aani (2/422).

Penutup

Akhir kalam, kami berpendapat bahawa hukum seseorang yang ada keuzuran untuk tidak berpuasa makan di siang hari bulan Ramadhan adalah HARUS. Adalah lebih afdhal ianya dilakukan di tempat yang sunyi dari penglihatan orang ramai bagi menjaga dan memelihara diri kita dari fitnah serta menyelamatkan orang ramai dari sangkaan buruk lalu mereka mendapat dosa. Semoga pencerahan ini dapat difahami dengan sebaiknya. Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar menerima segala ibadah kita di bulan Ramadhan ini, seterusnya menjadikan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa. Ameen
Share:

Tuesday, May 24, 2016

Tekun menuntut Ilmu

Pelajar cemerlang hari ini akan mudah hadapi hari esok kerana pengalamannya mendewasakan dan senang dalam menangani cabarang hidup

Share:

Monday, April 18, 2016

MUHASABAH PENDENGARAN, PENGLIHATAN DAN EMOSI SEBAGAI PEMBEZA DAKWAH ISLAM DAN DAKWAH POPULAR

MUHASABAH PENDENGARAN, PENGLIHATAN DAN EMOSI SEBAGAI PEMBEZA DAKWAH ISLAM DAN DAKWAH POPULAR
Muhasabah adalah ciri penting dalam dakwah Islam. Petunjuk yang jelas dalam dakwah Islam adalah
telinga, mata dan hati yang menghasilkan emosi, pendengaran dan penglihatan. Beringatlah, hati dan emosi, pendengaran dan penglihatan ini semuanya adalah bakal dipersoalkan di akhirat nanti. Firman Allah s.w.t.:
(وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا)
(Surah al-Isra' 17: 36)
Maksudnya: Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Manusia sering bergantung pada pancaindera dengan menjadikan pendengaran dan penglihatan sebagai asas utama. Tetapi, manusia yang diciptakan dengan nafsu tidak menghalakan pandangan ke arah kebaikan dan kebenaran. Malah, pendengaran, penglihatan dan emosi hatipun menghala kepada nafsu dan fantasi.
Hakikat ini adalah jelas dalam program realiti. Sesuatu yang sedap telinga mendengar dan sedap mata memandang akan mendapat undi terbanyak dan memenangi anugerah. Manakala tahap pemikiran dan isi kandungan seseorang tidak diambil kira.
Mungkin program realiti Akademi Fantasia, Malaysia Idol, LawaKing dan Maharaja Lawak adalah sangat sesuai dengan halwa telinga dan pandangan mata. Tetapi, Pencetus Ummah dan Dakwah Milinia pun diheret sama menjustifikasi kemenangan berdasarkan mata dan telinga.
Bukan salah menjadikan mata dan telinga menjadi alat justifikasi kerana setiap pendengaran dan penglihatan banyak memberi kesan kepada hati. Dengan pendengaran telinga dan pandangan mata, hati manusia dapat dijinakkan melalui emosi.
Oleh demikian, semua program realiti memberi kesan terhadap emosi orang ramai. Rasa sedih, gembira, gemuruh, kesal dan sebagainya banyak juga ditimbulkan melalui program realiti.
Namun, berapa banyakkah dari segala macam pendengaran, penglihatan dan emosi ini terarah ke kebenaran dan ilmu yang disebut fu'ad iaitu hati terpandu dengan ilmu yang melengkapkan kemanusiaan dan membezakan dengan binatang.
Sebenarnya kegembiraan dan kesedihan dalam program realiti adalah mainan emosi yang dirangka penerbit. Tersingkir dan maju dalam program tersebut adalah adat permainan program realiti. Masyarakat awam diajak bersama dalam permainan ini dan melahirkan rasa sedih dan gembira pada sesuatu yang diada-adakan.
Sehingga perserta, juri, pengacara dan penonton yang semuanya beremosi pada sesuatu yang bukan realiti tetapi sememangnya fantasi. Genre yang diletakkan dalam program ini sebagai program realiti yang pada hakikatnya bukanlah realiti tetapi fantasi semata-mata.
Bandingkanlah kehadiran Dr Zakir Naik (DZN) di atas pentas terbuka. Beliau berdiri di hadapan ribuan masyarakat dan menghala perbicaraan secara dua hala. Program dialog antara agama DZN sepatutnya menjadi mercu tanda program realiti yang sebenar. Di sini, pendengaran dipasang mendengar rentetan hujah, penglihatan diarahkan kepada keterbukaan DZN, dan emosi hati diajak merasai kebenaran Islam dan keagungan Ilahi. Oleh demikian, tiga serangkai iaitu telinga, mata dan hati digarap ke arah ke kebenaran.
Namun, disebelah pihak yang membenci DZN pula mengajak mata masyarakat terutamanya Melaka dari melihat keterbukaan Islam, kata-kata dihamburkan ke telinga dengan penuh prasangka dan hati yang geram terhadap sikap Melayu Islam yang menerima DZN.
Padahal, program realiti dakwah di kaca telivisyen telah banyak ditayangkan secara langsung di kaca telivisyen. Tayangan realiti ini terlalu banyak menjengah dan menimbulkan perbincangan. Tetapi, tiada satupun setanding syarahan terbuka DZN.
Mungkin tidak adil bagi sesetengah orang jikalau dibuat perbandingan antara DZN dengan program realiti. Tetapi, sangatlah wajar jikalau dipersoalkan mutu kandungan program realiti terutama dakwah yang tidak memberi kesan mendalam kepada masyarakat. Tidaklah saya mengatakan program realiti adalah lakonan dan rekaan semata-mata tetapi emosi dan persembahan bagaikan telah dirancang.
Oleh demikian, program realiti di Malaysia khususnya hendaklah dikaji mengenai aspek pendengaran, penglihatan dan emosi agar benar-benar bertepatan dengan matlamat dan objektif dakwah Islam.
Itulah sepatutnya dilakukan dan dibangunkan dalam program realiti terutamanya dakwah. Ambillah pengajaran dari nabi Muhammad s.a.w. yang berdakwah dan menolak tawaran takhta, harta dan wanita.
Dakwah kepada Allah dan Islam adalah tanggungjawab semua yang bukan pentas untuk meraih populariti, kuasa dan kekayaan. Dakwah adalah tugas para rasul, para nabi, para ulama dan golongan soleh. Sangat perlu kita bermuhasabah pada pendengaran, penglihatan dan emosi sebagai teknik mencapai matlamat dakwah secara berkesan.
Dr Muhammad Atiullah
Pengarah Akademi al-Ghazali
Share:

Sunday, March 27, 2016

KITAB AL-IMAN DR MUHAMMAD NAIM YASIN TIDAK BERCANGGAH DENGAN ALIRAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

KITAB AL-IMAN DR MUHAMMAD NAIM YASIN TIDAK BERCANGGAH DENGAN ALIRAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Syeikh Dr Muhammad Naim Yasin adalah seorang Ulama yang menjadi rujukan ummah dalam pelbagai disiplin ilmu. Ilmunya sangat luas dan perbahasan serta hujahnya sangat jelas dan tepat. Beliau mempunyai dua ijazah sarjana muda dari Syiria, dua ijazah sarjana lanjutan dari Mesir dan doktor falsafah dari Mesir. Pernah menjadi pensyarah dan dekan di Jordan, Kuwait, Qatar dan menjadi pakar rujuk dalam beberapa institusi perbankan Islam dan hospital-hospital utama memandangkan kepakarannya dalam bidang ekonomi dan juga isu-isu perubatan moden.
Beliau telah menulis ratusan buku dan maqalah yang telah menjadi sumber rujukan bukan setakat di Universiti malah menjadi rujukan dalam muktamar-muktamar serta konferen isu-isu semasa umat Islam. Kitabnya yang telah diharamkan di Negeri Selangor iaitu "Al-Iman Haqiqatuh- Nawaqidhuh" adalah kitab yang menjadi silibus mahasiswa sejak sekian lama dan dijadikan bahan pengajaran dibeberapa masjid di Jordan dan Mesir. Semenjak tahun 1978 lagi kitab ini sudah menjadi panduan umat Islam.
Bahkan sebelum kitab ini, beliau telah menulis karya yang bertajuk "Ni'matul Iman" pada tahun 1973 yang membincangkan tentang keteguhan seseorang muslim melalui iman. Tahun 1984 beliau menulis lagi karya yang berjudul "Wazifah Al-Mukminin Fi Al-Tasawwur Al-Islami" yang menghalusi peranan seseorang mukmin dengan Tuhannya untuk mendapat keredhaan dunia dan akhirat. Beliau adalah Ulama Ahli Sunnah Waljamaah yang sangat dikagumi dan ikhlas dalam penyebaran ilmunya. Pihak yang melarang menggunakan kitab Al-Imannya hendaklah berlaku adil dalam menilai dan tuduhan penulisannya tidak mengikut aliran Ahli Sunnah Waljamaah adalah suatu kesilapan besar yang mesti dipertanggungjawabkan.
*Asri ed-Diwanie
Share:

Definition List

get this widget here

Unordered List

Sembang